Penganggur wanita rugi lebih RM2 juta ditipu sindiket Macau Scam

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 10 Jun – Penganggur wanita kerugian lebih RM2 juta hasil wasiat dan pelaburan saham peninggalan mendiang abangnya selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata kejadian berlaku pada 10 Januari lalu ketika mangsa berusia 49 tahun yang masih bujang dan tidak bekerja dihubungi suspek.

Menurutnya, suspek ketika itu mengakui dirinya merupakan pegawai berpangkat Asisten Komisioner Polis bergelar ‘Datuk’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) Pahang yang mendakwa pengadu terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan penjualan dadah.

“Disebabkan ketakutan, pengadu telah menyerahkan semua nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) akaun banknya kepada suspek setiap kali diminta setiap kali transaksi dibuat.

“Bermula 11 Januari sehingga 20 Januari 2021, sepanjang sembilan hari itu telah dikesan berlaku 164 transaksi pemindahan wang melibatkan keseluruhan kerugian RM2,082,736.91.

“Semua transaksi dibuat dari akaun pengadu ke 17 akaun lain yang dipercayai ‘akaun mule,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan

‘Akaun mule’ merujuk kepada akaun keldai iaitu seseorang yang mendapat sedikit habuan dengan mengizinkan pihak lain menggunakan akaun banknya.

Mengulas lanjut Sundra berkata, siasatan mendapati, mangsa mendapat sumber wang hasil daripada peninggalan wasiat abangnya yang telah meninggal dunia 10 tahun lepas serta wang penjualan saham.

Siasatan lanjut tambahnya turut mendapati dua daripada 17 akaun yang terlibat dimiliki suspek lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai jurujual di alamat Puncak Alam, Kuala Selangor.

“Turut dikesan adalah 39 transaksi kemasukan wang yang berjumlah RM331,500 telah dibuat ke akaun suspek daripada akaun mangsa.

“Susulan itu, sepasukan polis daripada JSJK IPK Melaka telah menahan suspek dalam satu operasi khas di Subang Jaya Selasa lalu,” katanya.

Tambahnya, suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga esok.

“Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada Pegawai Pendakwa Negeri Melaka (PPN) hari ini dan telah mengarahkan sebanyak 39 pertuduhan dikenakan ke atas suspek,” katanya.

Tambah beliau, pertuduhan akan dibuat di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mengalih atau menyembunyikan harta secara tidak jujur atau secara fraud pada jam 9 pagi esok di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

619
Kongsi :
Previous post Ustazah rugi RM78,214 terpedaya ‘penipuan cinta’
Next post ‘Buta mata, celik hati’
Ubah saiz-+=