‘Buta mata, celik hati’

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020

SUNGAI UDANG 10 Jun – Biarpun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sebelah kanan, Khairun Nadzirah Kamarol Bahril, 18, berjaya mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini.

Kecacatan dialami tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk berjaya seperti insan sempurna, malah dikurniakan ‘mata hati’ yang terang untuk membaca al-Quran dengan bertarannum.

Katanya, walaupun keupayaan dirinya sedikit terbatas berbanding rakan lain, dia tidak pernah menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk berjaya dalam hidup.

NADZIRAH bersama ibunya menunjukkan sijil tempat ketiga diterima pada Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas Kebangsaan 2014

“Kadangkala terfikir juga bila fizikal macam ni, cabarannya ketika nak jawab kertas ‘exam’ ada ayat-ayat yang saya tak nampak bila baca dengan satu mata dan saya akan jadi pening.

“Tapi saya tak patah semangat untuk teruskan juga, dan pesan saya
jangan pandang sebelah mata dekat orang yang tak sempurna.

“Tidak kisah fizikal ini sempurna atau tidak janji kita usaha, doa dan tawakal,” katanya ketika ditemui bersama ibunya, Rohaiza Musa, 57, di Taman Terendak Permai hari ini.

Nadzirah yang mendapat gred ‘A’ dalam mata pelajaran matematik dan sains memilih untuk menceburi bidang perubatan di institut pengajian yang dimohon selepas ini.

“Saya sebenarnya sasar bahasa Melayu dan pendidikan Islam tapi yang dapat A subjek sains dan matematik sebab tu saya nak masuk bidang perubatan.

“Pada kawan-kawan kalau keputusan tak bagus masih ada peluang boleh belajar, boleh masuk tingkatan enam, kalau gagal tak bermakna kita gagal, kita boleh cuba belajar lagi,” katanya lagi.

MARZUKY bersama sepupunya, Nur Haziqah Md Ali, 18, menyemak keputusan SPM secara atas talian.

Sementara itu, Muhd Marzuky Hussin,18, yang mengalami kecacatan pada kaki sebelah kiri turut berkongsi kekurangannya bukanlah punca untuk tidak berjaya seperti orang lain.

Ditanya keadaan fizikalnya, Marzuky menceritakan dia mendapat kecacatan itu pada usia sembilan tahun selepas doktor memberitahu tulang kakinya bengkok.

“Saya ada kecacatan fizikal kaki kiri sejak darjah tiga, doktor yang memeriksa beritahu saya ada penyakit tulang bengkok dan pernah tiga kali buat pembedahan.

“Alhamdulillah sekarang dah boleh berjalan tegak, cuma masih susah nak jalan sebab kaki sebelah kiri pendek sikit.

“Malah saya ada kasut khas untuk dipakai ke sekolah” katanya.

Anak bongsu dari empat beradik ini berlapang dada dan reda menerima keputusan SPM hari ini.

KECACATAN kaki kiri bukan penghalang untuk berjaya

“Ada yang kita sasar tapi tak capai, ada yang tak sasar tapi dapat keputusan lebih baik. Saya tetap gembira dan bersyukur dengan keputusan ini.

“Kalau ada rezeki belajar, saya akan pilih bidang yang tidak menggunakan terlalu banyak pergerakan fizikal, saya mohon bahagian pentadbiran korporat, pentadbiran perpustakaan dan operasi perhotelan,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Selendang Batu Berendam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post Penganggur wanita rugi lebih RM2 juta ditipu sindiket Macau Scam
Next post Anak pekerja pembersihan raih 7A SPM
Ubah saiz-+=