Sorting by

×

SAKIT KEPALA RUPANYA DIUJI HIDAP KETUMBUHAN

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

DUYONG 4 September – Sakit kepala pada awalnya yang disangka akibat resdung dan alahan kucing mengubah hidup pelajar Tingkatan Empat, Nurfatimah Jeffri selepas dia disahkan menghidap ketumbuhan pada otak.

Remaja 16 tahun itu yang sebelum ini seorang anak yang aktif dan menjadi antara pelajar cemerlang Sekolah Tinggi Perempuan Melaka kini bukan sahaja terlantar malah tidak lagi mampu berjalan serta bercakap selain memerlukan penjagaan penuh ibunya.

Ibunya, Nooradhillah Mohd Rashid, 49, berkata, kehidupan harian anak ketiga daripada empat beradik kini berubah sepenuhnya selepas menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan pada Jun lalu.

Menurutnya, jika keadaan Nurfatimah tiada perubahan sudah pasti hasrat anaknya itu untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan tidak kesampaian.

“Perkara ini berlaku agak pantas apabila pada Mei lalu dia mengadu sakit kepala sebelum saya membawanya melakukan pemeriksaan di sebuah klinik.

“Awalnya hanya disyaki disebabkan resdung dan alahan kucing namun selepas imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dibuat di Hospital Melaka pada 1 Jun lalu mendapati terdapat air di kepalanya.

“Namun susulan daripada imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) dibuat doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan di bahagian kepala lalu anaknya itu dirujuk ke Hospital Tengku Azizah, Kuala Lumpur sebelum ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi proses pembedahan yang berlangsung hampir 11 jam,ā€ katanya.

Menurutnya, selepas pembedahan anak terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL selama lapan hari akibat jangkitan kuman di paru-paru selain mengalami sawan sehingga memerlukan tiub pernafasan di leher.

“Bagi membolehkan dia dijaga sepenuhnya saya terpaksa mengambil cuti selama enam bulan selain anak kini memerlukan tiub untuk makan dan minum.

“Malah kahaknya juga perlu disedut setiap setengah jam. Sebelum ini doktor sarankan untuk membeli mesin sedut kahak berharga RM3,000 tetapi disebabkan kekangan kewangan kami hanya mampu membeli mesin RM400 sahaja,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadbir.

Nooradhillah berkata, walaupun punca kewangan agak terhad dia dan suami Jeffri Zainon, 54, cuba semampunya untuk memenuhi keperluan anaknya itu termasuklah menyediakan susu khas dan lampin pakai buang.

“Setiap bulan kami memerlukan hampir RM3,000 untuk membeli susu khas, lampin pakai buang, peralatan perubatan termasuk perbelanjaan untuk rawatan susulan ke Kuala Lumpur.

“Saya pula kini hanya menerima separuh gaji sahaja sudah pasti menjadi cabaran untuk itu saya bersama suami amat berharap jika ada pihak yang sudi membantu meringankan beban,” katanya.

Jelasnya, jauh disudut hatinya sebagai seorang ibu mendoakan agar anaknya itu kembali sembuh serta dapat kembali sekolah sekali gus menduduki SPM bersama rakan-rakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKA JALAN KERJASAMA DENGAN NIPRO CORPORATION
Next post KANAK-KANAK LIMA TAHUN CEDERA DISERANG ANJING