Sang Kancil sedia sahut cabaran ‘heavyweight’

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MELAKA United (MU) perlu berusaha untuk kekal di Liga Super walau dengan apa jua cara sekalipun, tegas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Katanya, walaupun lawan-lawan yang menanti skuad Hang Tuah berstatus ‘heavyweight’ pada baki tujuh perlawanan terakhir, namun beliau tetap meminta pemain dan staf kejurulatihan memberikan komitmen 100 peratus demi merealisasikan harapan tersebut.

“Tujuh perlawanan ini amat penting untuk kita mengekalkan kedudukan di Liga Super. Oleh sebab itu, pemain dan jurulatih perlu berikan fokus untuk memastikan pasukan tidak tergelincir.

“Saya akui lawan yang tinggal bukan mudah, kebanyakannya pasukan ‘heavyweight’ seperti Johor Darul Ta’zim, Kedah, Perak, Terengganu dan Selangor.

“Tetapi matlamat saya sebagai Timbalan Presiden tetap mahu melihat pasukan kekal bersaing di liga atasan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Tambahnya, beliau enggan mendengar sebarang alasan daripada pemain mahupun staf kejurulatihan untuk mencapai matlamat tersebut meskipun perjalanan liga musim ini terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Jurulatih kena ada perancangan teliti dan pemain mesti tunjuk komitmen yang tinggi. Jangan jadikan alasan ini semua (Covid-19) kerana semua pasukan hadapi masalah yang sama juga.

“Jangan nak kata kurang latihan ke apa, kerana yang paling penting sekarang ialah pemain perlu tanamkan semangat untuk memastikan Melaka United kekal di Liga Super sekurang-kurangnya untuk musim ini,” katanya lagi.

Views:

342
Kongsi :
Previous post Pergi kerja, hadir mesyuarat punca ibu bapa tertinggal anak dalam kereta
Next post Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian V. Krishnasamy
Ubah saiz-+=