Sorting by

×

Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Sasterawan Zaharah Nawawi meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ Rawang, Selangor pada 7.55 pagi tadi dipercayai akibat penyakit barah.

Berita itu dikongsikan anak saudara Allahyarham, Mohd Fadhil Jaffar, menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Fadhil menyifatkan ibu saudaranya itu sebagai seorang yang disenangi dan selalu berfalsafah serta antara seorang yang berjaya di kalangan adik-beradiknya, selain banyak memberi inspirasi.

“(Beliau) Banyak memberi inspirasi atas kejayaan beliau yang banyak mendapat pengiktirafan, novelis tersohor dan sasterawan disegani… namun terselit juga kisah duka di sebalik suka.

“Bertarung ke akhir hayat melawan penyakit barah yang dihadapi… Alhamdulillah… dua minggu lepas sempat kami datang menziarah, terpancar senyuman dan kegembiraan dalam menahan kesakitan melihat generasi dan legasi sekarang walaupun sekadar menumpang kasih sayang anak-anak dan cucu-cucu saudara,” katanya.

Mohd Fadhil juga mendoakan semoga ibu saudaranya ditempatkan bersama orang yang beriman.

Katanya jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya selepas Zohor tadi.

Zaharah, 82, yang merupakan anak kelahiran Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat Johor, dilahirkan pada 5 Mei 1940 dan mula mengasah bakat dalam penulisan pada usia 12 tahun.

Pencapaian tertinggi yang diraih Zaharah adalah Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) pada September 1996 di Bangkok, Thailand menerusi novel Anugerah serta Hadiah Karyawan Sastera Johor, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim pada 1999.

Dalam kerjayanya, beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan di Mingguan Malaysia dan Anggota Sidang Pengarang majalah WANITA dari 1968 hingga 1976 dengan jawatan terakhir Zaharah di Utusan Melayu adalah sebagai Ketua Redaksi majalah MASTIKA.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Editor Umum Penerbitan Berbahasa Malaysia di Berita Publishing (anak syarikat Kumpulan The New Straits Times) dari 1976 hingga 1985.

Beliau turut pernah menjadi Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn Bhd pada 1985 hingga 1986 selain pernah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dari 1997 hingga 1998.

Antara novel dihasilkan beliau adalah Panglima Salleh, Selempang Merah; Jalur Sinar di Celah Daun; Azah Aziz: Kartika di Langit Seni; Anugerah; Sehelai Daun Yang Gugur; Haruman Kencana; Bulan dan Mentari; Di Hujung Penantian; Semangat Bunga; Wangian Bukit Peranginan serta Warna dan Wajah.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

906
Kongsi :
Previous post Rasuah pengurusan jenazah: Tiga petugas kesihatan direman lima hari
Next post PICKids tamat hari ini, 33 peratus lengkap divaksin
Ubah saiz-+=