‘Saya akan beri khidmat terbaik’ – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU 20 Nov – Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meluahkan rasa syukur di atas kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka penggal ke-15.

Katanya, kemenangan besar itu jelas menunjukkan bahawa rakyat Melaka inginkan sebuah kerajaan yang stabil untuk mentadbir negeri ini.

Pada masa sama, beliau berjanji untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat sepanjang lima tahun akan datang.

“Seperti mana saya maklumkan sebelum ini, saya akan berikan khidmat terbaik kepada masyarakat DUN Lendu dan Melaka amnya.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kita (BN) telah memperolehi kemenangan yang besar, ini jelas menunjukkan rakyat Melaka inginkan sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan sudah pasti mempunyai track rekod yang baik seperti BN,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan DUN Lendu, di sini, hari ini.

Kemenangan Sulaiman diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lendu, Haidir Harun dengan keputusan majoriti 3,104.

Ia sekali gus menewaskan saingan terdekat Mejar Dolah dari parti Perikatan Nasional (PN) yang memperolehi 1,382 undi manakala Asri Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) mendapat 1,155 undi.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, beliau akan menunaikan segera apa yang dijanjikan pada aku janji manifesto BN sebelum ini kepada rakyat Melaka.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua rakyat Melaka khususnya masyarakat DUN Lendu yang memberi kemenangan mutlak kepada beliau melalui majoriti undi yang besar.

“Juga penghargaan terima kasih ini saya tujukan kepada barisan jentera BN Lendu yang bekerja keras sejak hari pertama kempen bermula sehingga ke hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post Keputusan Rasmi: N07 Gadek – BN menang
Next post Keputusan Rasmi: N19 Kesidang – PH menang
Ubah saiz-+=