Saya gembira kembali ke Melaka – Hidilyn

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

JASIN 6 Nov – Jaguh angkat berat Filipina Hidilyn Diaz gembira dapat kembali dan menyambung latihannya di Kampung Kesang Tua di sini yang membantunya meraih kejayaan pada temasya Olimpik Tokyo, selepas meninggalkan negeri ini akhir Julai lepas.

Hidilyn, 30, yang merupakan pemenang pingat emas Olimpik pertama Filipina menganggap kampung itu sebagai rumah keduanya selepas menghabiskan lebih sembilan bulan bekerja keras menjalani latihan bagi persiapan ke Olimpik.

“Segala-galanya ada di tempat ini (Kampung Kesang Tua), saya boleh melakukan rutin harian seperti latihan, pemulihan dan menikmati makanan selain persekitaran yang aman dan harmoni jauh dari kesibukan kota, jadi saya boleh menumpukan latihan tanpa gangguan.

“Saya suka segala-galanya mengenai Melaka, apabila kembali ke sini ramai yang memberi perhatian dan saya sangat bersyukur kerana ketika saya terkandas di sini, mereka menyediakan tempat untuk berlatih seperti di tempat saya sendiri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hidilyn tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lepas dan terus ke Kampung Kesang Tua bagi menjalani kuarantin hingga semalam.

Mengulas lanjut, Hidilyn berkata beliau melihat sukan angkat berat berpotensi dikembangkan di Malaysia sekali gus melahirkan juara Olimpik pada masa depan.

Mengenai hasrat untuk membina sebuah pusat latihan bagi pembangunan sukan angkat berat di Kesang Tua, beliau berharap ramai pihak tampil memberi bantuan bagi menjayakannya.

“Kami telah memulakannya di sini dan memenangi pingat emas, selepas saya pulang ke sini ramai ibu bapa bertanya dan berminat untuk menghantar anak mereka untuk menjadi atlet angkat berat. Mereka mungkin melihat ini tempat untuk melahirkan pemenang pingat emas Olimpik.

“Saya dapat melihat ramai atlet muda yang berpotensi dan saya yakin kami dapat membantu mereka mencapai impian,” katanya.

Hidilyn sebelum ini membuat persiapan ke Olimpik dengan menjalani latihan di kampung itu apabila terkandas berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

580
Kongsi :
Previous post Senarai penuh calon Putra bertanding PRN Melaka
Next post Putra bertanding 5 kerusi di PRN Melaka
Ubah saiz-+=