‘Saya tak buat kacau’ – Idris

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SUNGAI UDANG 24 Okt – “Saya tidak buat kacau atau timbulkan ketegangan pada mesyuarat agung UMNO Cawangan Klebang Kechil,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Idris mendakwa, beliau berada di halaman kediaman seorang pemimpin UMNO cawangan itu kerana halaman itu sangat hampir dengan halaman kediamannya yang diistilahkannya sebagai ‘berkongsi halaman.’

“Kami berkongsi halaman rumah dan semasa saya berborak dengan ibu saya, mereka (ahli UMNO cawangan) yang berkumpul untuk mesyuarat UMNO cawangan buat bising.

“Saya pergi ke halaman rumah itu dan meminta mereka senyap sedikit kerana terlalu bising sedangkan saya sedang berborak dengan ibu saya tetapi mereka degil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Idris mendakwa, ketika kejadian jam 10.15 pagi itu, mesyuarat berkenaan belum dijalankan dan beliau mengambil sedikit masa untuk memberikan penjelasan kepada ahli UMNO mengenai situasi politik semasa di negeri ini.

Katanya, beliau meminta ahli UMNO cawangan itu membawa usul tiga pemimpin UMNO ‘disingkirkan’ kerana didakwa menyebabkan banyak kerosakan kepada parti, Melaka dan Malaysia secara keseluruhannya.

Katanya, pemimpin terbabit ialah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

“Saya minta mereka membawa usul itu kerana ketiga-tiga mereka sudah membuat kerosakan kepada UMNO, negeri ini dan negara kita.

“Selepas meminta mereka membawa usul itu, saya pun balik, tak ada pun saya buat kacau-bilau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilaporkan mendakwa kehadirannya pada mesyuarat itu menimbulkan ketegangan, supaya tidak membuat tuduhan tanpa usul periksa.

“Ahmad Maslan kalau nak tahu cerita sebenar, minta dia telefon saya…saya boleh ceritakan dari pangkal sampai hujung,” katanya.

Mengulas kenyataan Mohamad Ali yang mendakwa tindakannya itu seolah-olah ‘gila talak’ Idris berkata, Ketua UMNO terbabit sudah kehabisan modal untuk bercakap.

“Apa yang dia maksudkan gila talak? Dia jangan takut, saya tak buat kacau,” katanya.

Terdahulu, Ahmad dan Mohamad Ali dilaporkan kesal dengan tindakan Idris muncul dalam mesyuarat berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak sepatutnya dilakukan kerana Idris bukan lagi ahli UMNO.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post SOP PRN Melaka tak adil – DAP Melaka
Next post Menyamar jadi nelayan cuba seludup dadah
Ubah saiz-+=