Sorting by

×

Sektor animasi negara mampu tembusi pasaran antarabangsa – MDEC

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

CANNES (Perancis), 19 Mei – Sektor animasi negara berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa kerana Malaysia mempunyai keupayaan dari segi teknologi dalam industri itu, kata Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad.

Beliau berkata produk animasi tempatan seperti Upin & Ipin sudah mula mendapat tempat di pasaran luar malah menerima sambutan luar biasa daripada negara jiran.

“(Potensi sektor animasi kita) besar, kita mempunyai keupayaan sebab kita ada teknologi. Di Malaysia kita lebih ke hadapan dalam sektor ini. Kita sudah lama mulakan langkah dan dari segi kandungan, MDEC boleh bantu,” katanya ketika ditemui pemberita di Pavilion Malaysia sempena penganjuran Marche Du Film di Palais des Festival di sini.

Md Alwi berkata MDEC sebagai agensi peneraju yang menggalakkan lebih banyak penghasilan filem animasi akan terus mempergiat promosi bagi membolehkan sektor animasi negara menembusi pasaran global.

Menurutnya penganjuran Marche Du Film menjadi platform terbaik kepada MDEC untuk mempromosi dan memperkenalkan produk animasi negara seperti Upin & Ipin, Ejen Ali, Mechamato dan Batik Girl.

“MDEC mesti membawa bendera Malaysia ke sini (Marche Du Film) dan menyatakan bahawa animasi adalah sesuatu yang besar sebab kalau dalam industri perfileman kena ada latihan mengenai lakonan, penerbit yang hebat dan sebagainya.

“Tetapi dalam animasi kita tak ada benda itu semua, yang perlu ada adalah inovasi dalam melahirkan animasi yang bagus. Macam Upin & Ipin tidak perlu nama dan penerbit besar tetapi kita telah tunjukkan bahawa kita berjaya. Sebab itulah MDEC datang ke sini mudah-mudahan kita dapat menambah lagi pelaburan untuk negara kita,” katanya.

Md Alwi berkata pihaknya juga akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk memohon geran dan seterusnya menghasilkan lebih banyak filem animasi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1603
Kongsi :
Previous post Hapus peranan orang tengah dalam sektor pertanian – PM
Next post Tajuk-tajuk utama akhbar 19 Mei 2022
Ubah saiz-+=