Sorting by

×

Semarak bulan kemerdekaan di Kampung Orang Asli Gapam Baru

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BEMBAN 26 Ogos – Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Melaka terus komited menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2020 meskipun negara masih dilanda pandemik COVID-19.

Menerusi program Merdeka@Komuniti peringkat Daerah Jasin anjuran Pejabat Penerangan Daerah Jasin baru-baru ini, sambutan berkenaan dimeriahkan pula di Perkampungan Orang Asli Gapam Baru, di sini, yang mendapat sambutan baik di kalangan penduduk tempatan.

Menurut Pengarah Penerangan Negeri Melaka Mohd Rizal Hashim, pihaknya sentiasa menitikberatkan sambutan bulan kemerdekaan di peringkat akar umbi tanpa mengira warna kulit, bangsa mahu pun agama.

“Kita tidak mahu ada rakyat Malaysia yang tertinggal mahupun terkecuali meraikan kemerdekaan negara yang ke-63 tahun ini.

“Selain program Merdeka@Komuniti juga, pasukan Jabatan Penerangan Melaka melalui program ‘Info On Wheels Merdeka’ juga telah sampai ke perkampungan Orang Asli yang lain seperti perkampungan Orang Asli Lubuk Bandung, Kg. Air Dusun dan juga di Bukit Payung.

“Program Info On Wheels Merdeka ini menyasarkan 60 program sepanjang bulan Kebangsaan dan sehingga semalam sebanyak 51 program dengan 102 lokasi di 28 DUN Melaka ini telah dijelajahi.

“Kehadiran kami adalah untuk menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang di premis dan kediaman, membawa mesej kenegaraan, mempromosi aktiviti Bulan Kebangsaan dan turut memberi panduan cara pemasangan bendera dengan betul,” katanya.

Sementara itu, bagi penduduk tempatan, Nasuha Buntal, program hari ini amat dinantikan penduduk Orang Asli Gapam Baru, dalam meraikan semangat sambutan Hari Kebangsaan serta menunjukkan penghargaan di atas pengorbanan negara mencapai kemerdekaan.

“Penghayatan erti kemerdekaan itu penting bagi generasi muda yang harus dipupuk sejak kecil lagi disamping itu rukun negara yang menjadi teras keharmonian negara perlu ditekankan kepada semua rakyat agar kehidupan di negara kita terus aman dan sejahtera,” ujarnya.

Views:

913
Kongsi :
Previous post MARDI tarik minat belia ceburi bidang pertanian dan keusahawanan
Next post Dulu hobi kini pasar produk menerusi ‘handmade market’
Ubah saiz-+=