
‘SEMARAK REMBIA’ LETAKKAN RAKYAT NOMBOR SATU
REMBIA 19 Ogos – Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia memperkenalkan ‘Semarak Rembia’ sebagai slogan untuk lebih dekat dengan rakyat.
Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, perkataan ‘Semarak’ dipilih memandangkan ia membawa maksud ‘Sentiasa Bersama Rakyat’ sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Sebaik saya diberi mandat sebagai Penyelaras DUN pada November 2023 saya bersama kepimpinan masyarakat berazam untuk meletakkan rakyat nombor satu dan akan bantu serta santuni mereka sehabis baik.
“Sebab itu bait-bait ‘Sentiasa Bersama Rakyat’ ini bukan sekadar berada di kedai kopi atau dalam program sahaja, sebaliknya kita perlu mendengar rintihan, selain menjiwai setiap masalah yang dihadapi,” katanya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata demikian ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Rembia.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, bagi memastikan urus tadbir berorientasikan rakyat yang diterapkan berkesan, pihaknya turut memperkenalkan platform aduan secara dalam talian yang turut dinamakan Semarak Rembia.
Jelas beliau, platform itu melibatkan pemimpin setempat bersama pelbagai agensi di mana ia berperanan untuk menguruskan aduan rakyat secara lebih pantas dan efisien.
“Contohnya jika ada aduan mengenai paip bocor, pemimpin setempat yang menerima aduan atau melihat kejadian boleh menghantarkan gambar di dalam platform ini dan seterusnya, agensi atau jabatan berkaitan seperti contoh dalam kes ini Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dapat mengambil tindakan dengan segera.
“Begitu juga dengan aduan-aduan lain, di mana, platform ini dapat menyelaraskan pelbagai bentuk saluran aduan dengan lebih baik dan seterusnya mencipta masyarakat yang harmoni dan sejahtera di Rembia,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.