Sorting by

×

Sembilan jam bersihkan tumpahan kimia kemalangan treler

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

ALOR GAJAH 25 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa lebih sembilan jam membersihkan tumpahan sisa buangan kimia selepas treler terbalik dalam kemalangan di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat awal pagi tadi.

Pakar Hazmat JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 2.56 pagi sebelum 14 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati treler dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun bersama kelindannya berusia 31 tahun terbalik ke semak di laluan kiri lebuh raya berkenaan dan mengakibatkan tumpahan sisa buangan kimia jenis kuprum dan aluminium serbuk.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) bomba turut dikerahkan ke lokasi kejadian berikutan treler berkenaan membawa muatan bahan buangan kimia berjadual dari kilang di Pasir Gudang untuk dibawa ke sebuah pusat pembuangan sisa kimia di Negeri Sembilan.

“Pemandu dan kelindan treler bagaimanapun tidak cedera,” katanya ketika dihubungi.

Tumpahan sisa buangan kimia selepas treler terbalik dalam kemalangan di Kilometer 215.6 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat awal pagi tadi. Foto ihsan JBPM Melaka

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM negeri berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira sembilan jam bagi memindahkan sisa buangan terbabit ke treler lain yang disediakan pihak syarikat treler kemalangan itu.

“Operasi pembersihan tertangguh untuk beberapa jam berikutan keadaan hujan renyai dan anggota HAZMAT perlu memastikan operasi itu perlu berada dalam keadaan kering kerana dikhuatiri sisa buangan kimia itu akan memanas dan beracun apabila terkena air.

“Selain itu, operasi turut mengambil sedikit masa kerana menunggu treler lain untuk tiba di lokasi kejadian selain menggunakan khidmat kren berkuasa tinggi untuk mengangkat treler yang terbabas itu.

“Setakat ini, anggota bomba menggunakan satu lorong bagi membolehkan operasi pemindahan dan pembersihan bahan buangan tersebut,” katanya.

Zulkhairani berkata dalam operasi itu anggota HAZMAT menggunakan peralatan khas termasuk kamera infrared termal, alat pengesan pengecaman bahan kimia, penganalisis pengecaman gas dan meter gas.

Katanya, setakat jam 12 tengah hari tadi operasi memindahkan dan membersihkan sisa buangan tersebut masih dijalankan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1014
Kongsi :
Previous post Guna beg pakaian seludup dadah RM1 juta
Next post Enam lelaki ditahan berkaitan kemuka penyata akaun bank syarikat palsu
Ubah saiz-+=