Sembilan masjid baharu dibina di Melaka sejak 2020

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

SERKAM 12 November – Sebanyak sembilan masjid baharu telah dibina di Melaka sejak 2020 hingga kini sejak di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman berkata, selain senarai tersebut, pihaknya turut bercadang menambah beberapa lagi masjid baharu pada masa akan datang dalam memastikan syiar Islam di Melaka terus diperkasa.

“Sejak kita mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2020 yang lalu sehingga hari ini sebanyak tujuh buah masjid telah siap dibina, selain dua yang lain akan dibina pada Januari tahun hadapan.

“Antara masjid yang telah disiapkan adalah di Paya Mengkuang, Bemban, Balik Bukit, Tehel serta beberapa lokasi lain dan dua lagi dalam pembinaan selepas program pecah tanah hari ini iaitu di Serkam Darat dan Bukit Tembakau dijangka akan dibina pada Januari depan.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan berusaha sebaik mungkin bagi memberikan keselesaan buat umat Islam seluruh Negeri Melaka.

“Ini adalah keutamaan kita memandangkan soal masjid ini kita tidak ada kompromi kerana dengan berlakunya pertambahan penduduk, masjid yang ada tidak mampu menampung jemaah yang meningkat, jadi sudah pasti ini tugas dan tanggungjawab kita untuk menaikkan lagi syiar Islam dan menambah baik lagi masjid yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Masjid Baharu Kampung Serkam Darat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim.

Terdahulu, Sulaiman telah menyempurnakan gimik perasmian pecah tanah di tapak baharu Masjid Ar Rashid di kampung itu setelah Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan masjid baharu itu dengan rekaan reka bentuk baharu.

IMG_20221112_191201_590
SERKAM 12 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersalaman bersama penduduk ketika hadir ke Majlis Pecah Tanah Masjid Baharu Kampung Serkam Darat, Jasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sulaiman berkata, pembinaan masjid itu perlu dilaksanakan segera berikutan struktur masjid lama terpaksa dirobohkan selepas laporan forensik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan keadaan masjid lama itu tidak lagi kukuh.

Menurutnya, masjid yang mampu memuatkan 800 jemaah itj dilengkapi dengan ruang wuduk, bilik pengurusan jenazah, bilik mesyuarat, bilik imam serta infrastruktur lain dengan menelan peruntukan sebanyak RM5.8 juta.

“Menerusi peruntukan itu sebanyak RM3.2 juta telah disumbangkan daripada kerajaan persekutuan dan RM2.4 juta daripada Kerajaan Negeri diikuti RM200,000 sumbangan daripada saham wakaf oleh pihak masjid dan ahli kariah.

“Insya-Allah, masjid yang dikelolakan di bawah JKR Jasin ini akan dibina dalam masa terdekat seawal tahun hadapan dan proses pengeluaran tender akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini sebanyak 215 buah masjid dan 858 buah surau terdapat di negeri ini dan ia tidak termasuk dengan senarai masjid baharu yang siap di bina di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1939
Kongsi :
Previous post Menara telekomunikasi baharu di Kem Terendak akan disegerakan
Next post Pokok rhu tumbang, ibu dan bayi cedera
Ubah saiz-+=