9 menara baharu perkasa capaian internet luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 8 Mac – Sebanyak sembilan lagi menara telekomunikasi dirancang dibina terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar Negeri Melaka sepanjang tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pembinaan menara berkenaan akan dilaksanakan menerusi Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited dalam memastikan inisiatif itu direalisasikan agar pemerkasaan digital khususnya capaian internet luar bandar lebih berkualiti mampu dicapai.

“Jadi saya berharap untuk tahun ini, sembilan menara ini akan siap dibina. Saya juga telah meminta kepada MCMC supaya mengenal pasti lokasi sesuai dengan segera supaya kita boleh laksanakan mesyuarat teknikal dan infrastruktur bersama semua jabatan terlibat.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan semua terlibat menjayakan program pembinaan menara di bawah JENDELA kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja YB Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital dan Penyerahan Tapak Projek JENDELA Fasa 1 Negeri Melaka di Kampung Bukit Apit, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah MCMC Melaka, Syed Isa Alsagoff, Ketua ICT negeri, Fauzi Elham; Ketua Pegawai Operasi Melaka ICT Holdings (MICTH), Mohd Jailani Deraman serta tetamu lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak tujuh projek menara telekomunikasi telah menerima kelulusan untuk dibangunkan pada tahun lalu.

Katanya, setakat ini sebuah menara telah siap dibina sepenuhnya diserahkan kepada pihak pengendali telko iaitu di Kampung Gapis, Asahan.

“Manakala kali ini empat lagi menara yang telah siap dibina akan diserahkan kepada syarikat pengendali ini yang mana ia melibatkan di kampung ini, Kampung Sungai Buloh, Kampung Baru Kemasik, Asahan dan di Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan.

“Selepas penyerahan ini kita akan memberi tempoh sekurang-kurangnya empat bulan kepada syarikat terlibat dan ada juga menara yang akan beroperasi sebelum sambutan Aidilfitri nanti di mana ia bergantung kepada kaedah yang digunakan sama ada menggunakan gentian optik atau penggunaan teknologi MOCAN (Multi Operator Core Network),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2688
Kongsi :
Previous post Penuntut universiti maut digilis MPV
Next post ‘Di Langit Melaka, Ku Temui Damai Yang Hilang’
Ubah saiz-+=