Penuntut universiti maut digilis MPV

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PAYA RUMPUT 8 Mac – Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah maut selepas digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Jalan Cheng Perdana 6, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa Dahiyah Athirah Mohd Faridgh meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sedang bekerja sambilan di sebuah butik di Cheng sedang menuju ke tempat kerjanya.

Katanya, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz menghala ke arah Jalan Tanjung Minyak dari Taman Cheng Perdana dilanggar sebuah MPV dipandu seorang guru berusia 41 tahun.

Menurutnya, guru berkenaan dipercayai membelok ke kanan di persimpangan sekolah tanpa menyedari motosikal mangsa dari arah bertentangan menyebabkan mangsa telah digilis dan terperosok ke bawah kereta.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan bantuan pihak bomba diperlukan untuk menarik keluar mangsa dari bawah kenderaan.

“Pemandu MPV tidak mengalami kecederaan, namun masih trauma dengan kemalangan yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan dan polis masih mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3210
Kongsi :
Previous post Dua lelaki didakwa bunuh kakitangan MPM
Next post 9 menara baharu perkasa capaian internet luar bandar
Ubah saiz-+=