Sembilan penjawat awam sebuah agensi penguat kuasa, seorang nelayan ditahan, jual rampasan dadah

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Sembilan penjawat awam sebuah agensi penguat kuasa antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat pengedaran syabu yang dianggarkan bernilai RM193,590.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sembilan penjawat awam itu ditahan di Putrajaya manakala seorang nelayan di Johor pada 6 Mac hingga 8 Mac lepas.

Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 33 hingga 49 tahun itu menggunakan modus operandi menjual semula 50 kilogram syabu yang dirampas dalam satu operasi di perairan Selat Melaka untuk pengedar di utara Semenanjung.

“Sembilan penjawat awam berkenaan menjual semula dadah yang dirampas kepada sindiket yang bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia

“Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak pertengahan Februari lepas,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata setiap penjawat awam menerima lima kilogram syabu hasil dadah yang dirampas untuk dijual kepada sindiket berkenaan.

“Sindiket ini, turut beroperasi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru dan polis juga akan menjalankan siasatan susulan jika ada penjawat awam yang lain terlibat.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai bekerjasama dengan sindiket dadah lain dan menjadi pemain penting dalam kitaran dadah di negara ini.

Selain itu, Ayob Khan berkata mereka juga menyasarkan pasaran dadah di luar negara kerana harganya yang mahal.

“Sebagai contoh, satu kilogram syabu di pasaran Malaysia bernilai kira-kira RM36,000 manakala di Indonesia RM100,000 dan di Australia pula mencecah RM300,000.

“Hasil serbuan, polis merampas syabu seberat 5,377.52 gram dan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 26.8 juta penagih dadah,” katanya.

Menurut Ayob Khan, ujian saringan air kencing ke atas 10 suspek hanya empat penjawat awam positif dadah jenis Methamphetamine dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Polis juga mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan turut menyita pelbagai aset sindiket berkenaan dianggarkan bernilai RM195,235.78,” katanya.

Polis turut merampas empat buah kereta iaitu dua Honda CRV, Toyota Vios dan Perodua Aruz yang kesemuanya bernilai RM190,000 dan membekukan satu akaun bank bernila RM5,325.78.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama 14 hari iaitu sehingga 20 Mac ini untuk siasatan lanjut.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya.

Menurutnya, polis mengharapkan masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan sedemikian yang berlaku di sekeliling untuk disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Zhafri Yahya dipanggil sertai latihan skuad kebangsaan
Next post ‘Kafe Bas’ Klebang kini tinggal sejarah
Ubah saiz-+=