‘Kafe Bas’ Klebang kini tinggal sejarah

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

KLEBANG 15 Mac – ‘Kafe Bas’ yang dahulunya pernah menceriakan suasana Dataran 1Malaysia Klebang kini hanya tinggal sejarah selepas semuanya bakal dilupuskan tidak lama lagi.

Tindakan itu dilakukan susulan aduan orang ramai yang kecewa melihat keadaan kawasan itu yang terbiar usang dan menjadi tempat pembuangan sampah.

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar Datuk Mohd Yusof Abu Hasan meninjau keadaan sekitar kawasan ‘Bus Cafe’ yang tidak terurus di Dataran 1 Malaysia, Klebang. Foto: MR. Azli

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar Datuk Mohd Yusof Abu Hasan, lapan bas ikonik Melaka yang ditempatkan di situ untuk dijadikan kafe sebelum ini tidak lagi berfungsi seperti diharapkan.

Sebaliknya, bas berkenaan hanya dijadikan stor penyimpanan barang oleh sebahagian penjaja dan tidak dijaga dengan baik sehinggakan kawasan itu mencacatkan pemandangan Klebang yang terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong tiap hujung minggu.

“Saya telah berhubung dengan EXCO Kerajaan Tempatan (Datuk Zaidi Attan) berhubung perkara ini dan alhamdulillah pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memulakan kerja pelupusan bas ini dengan kadar segera.

“Kita terpaksa memohon tindakan itu dilakukan kerana situasi di kawasan ini bertambah buruk saban hari sehinggakan kawasan bas yang ada dijadikan sarang maksiat, penyalah gunaan dadah dan lebih buruk menjadi tapak pembuangan sampah.

“Kita mahu kawasan ini yang terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancongan dijaga sebaiknya demi menjaga imej Melaka yang bersih dan sebuah bandaraya mampan berteras teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak penjaja di Dataran 1 Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga Nurul Huda Ahmad, 31 bersetuju bas-bas usang itu dilupuskan kerana ia sudah tidak relevan dengan kawasan tersebut.

Katanya, sewaktu berniaga di dalam ‘kafe bas’ itu, dia pernah mendapat kecederaan serius apabila tempat penyedut asap jatuh dan terkena tangannya.

Malah, katanya, pelanggan juga tidak gemar makan dan minum di dalam kafe bas itu kerana keadaan tempat itu yang panas dan sempit.

“Saya bersetuju bas-bas ini dipindahkan dan diharap akan ada satu tapak baharu dibangunkan untuk peniaga di sini,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama ialah seorang lagi peniaga, Hisyam Husin, 45 yang menyuarakan harapan agar pihak MBMB dapat membangunkan sebuah tapak perniagaan baharu yang lebih sistematik.

Dia yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Dataran 1 Malaysia Klebang berkata, pembinaan tapak perniagaan itu perlulah lebih kukuh dan tidak bergantung kepada khemah kanopi seperti sebelum ini.

“Kita mahukan tapak perniagaan yang lebih kukuh kerana sebelum ini peniaga di sini berdepan ancaman ribut sehingga merosakkan khemah dan mengakibatkan kerugian.

“Ini kerana kawasan ini berada di pesisir pantai dan di tapak terbuka, jadi adalah lebih baik jika satu tapak perniagaan yang lebih kukuh dapat dibangunkan,” katanya.

Untuk rekod, perancangan membangunkan ‘Kafe Bas’ dan ‘Bustel’ menggunakan konsep bas-bas awam ikonik Melaka suatu ketika dahulu, telah bermula sekitar tahun 2012.

Namun, atas sebab-sebab tertentu, Bustel telah ditutup sepenuhnya sekitar tahun 2017.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1865
Kongsi :
Previous post Sembilan penjawat awam sebuah agensi penguat kuasa, seorang nelayan ditahan, jual rampasan dadah
Next post Setiap cabaran pasti ada kemanisan di penghujung
Ubah saiz-+=