Sorting by

×

Setiap cabaran pasti ada kemanisan di penghujung

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 15 Mac – “Anugerah ini adalah satu amanah dan tanggungjawab besar buat saya pikul.

“Bukan untuk dibanggakan kerana keperibadian saya akan menjadi cerminan buat hufaz yang lain,” kata Anis Atirah Razali, penerima Anugerah Sayyidina Ali (Tokoh Huffaz) pada Majlis Konvokesyen Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) Ke-9.

Anis menerima anugerah itu atas kecemerlangan dalam akademik, hafazan al-Quran, penglibatan kokurikulum dan sahsiah sepanjang tiga tahun pengajian dalam jurusan Pengurusan Halal di KAQSA.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, pada awalnya di berasa tidak layak untuk menerima anugerah itu namun berterima kasih kepada pihak pengurusan kolej atas penghargaan diberikan.

Katanya, perjalanannya selama tiga tahun belajar di KAQSA berdepan pelbagai cabaran, termasuk diuji dengan pemergian bapa tersayang pada Sept tahun lalu, membuatkan dia hampir berputus asa.

“Menjadi harapan arwah ayah melihat saya menghafaz dan berjaya. Malah arwah kerap berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh disebabkan itu saya pernah terfikir buat apa lagi meneruskan semua ini kerana ayah sudah tiada.

“Malah pandemik COVID-19 juga memberi kesan apabila terpaksa tinggal di rumah dan untuk mendapatkan rentak serta suasana menghafaz itu bukan mudah.

“Selain itu saya perlu berperang dengan perasaan sendiri kerana kita tidak dapat bebas seperti mereka yang lain,” katanya yang bercita-cita meneruskan pengajian Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dia ditemui pada Majlis Konvokesyen Khatam Hafazan Al-Quran Dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar KAQSA Kali Ke-9 di sebuah hotel di Banda Hilir, hari ini.

YANG di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan Anugerah Sayyidina Ali (Tokoh Huffaz) kepada Anis Atirah Razali pada Majlis Konvokesyen Kolej Al-Quran Sayyidina Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Majlis Konvokesyen itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

PENERIMA Anugerah Penulisan Al-Quran, Anas Abd Razak bersama ibunya pada Majlis Konvokesyen Kolej Al-Quran Sayyidina Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, bagi penerima Anugerah Penulisan Al-Quran (Tahriri) Anas Abd Razak, 21, yang mengambil jurusan Qiraat berkata, dia amat bersyukur kerana berjaya khatam dan menulis al-Quran dalam tempoh dua tahun tiga bulan.

“Sebenarnya ini kali kedua saya khatam yang pertama pada 2018 tetapi ketika itu saya mengambil masa empat tahun berbanding kali ini. Allhamdulillah Allah kurniakan sekali lagi peluang dan ianya bermakna buat saya.

“Memang sukar kerana selain perlu menghafaz saya juga perlu menulis menggunakan tulisan tangan sepenuhnya selain itu saya juga perlu memberi fokus kepada subjek yang lain juga.

“Kita sendiri perlu bertanggungjawab dengan mengatur dan menyusun sendiri jadual harian,” katanya.

Katanya, walaupun perjalanan agak mencabar untuk menghafaz dan khatam al-Quran namun baginya setiap apa yang berlaku dipenghujung pasti akan ada kemanisan selain pahala berganda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post ‘Kafe Bas’ Klebang kini tinggal sejarah
Next post Onn Hafiz Menteri Besar Johor ke-19
Ubah saiz-+=