Sembilan sekolah dapat dewan terbuka baharu 

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BUKIT KATIL 27 Januari – Sembilan buah sekolah di Melaka, kini dilengkapi kemudahan dewan terbuka baharu, sekali gus memberikan lebih keselesaan kepada murid untuk menjalankan aktiviti luar bilik darjah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kos bagi pembinaan setiap dewan terbuka yang berkeluasan 3,750 kaki persegi mampu menampung lebih 700 murid dalam satu masa itu adalah sekitar RM850,000.

Rahmad berkata, inisiatif itu membabitkan tujuh sekolah dalam daerah Melaka Tengah dan dua lagi di daerah Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’Demang Hussin; SK Bukit Beruang; SK Ayer Molek; SK Seri Duyong; SK Bachang; SK Kerubong; SK Tanjung Minyak 2; SK Ayer Merbau serta SK Merlimau 2.

“Semua dewan sebenarnya sudah siap pembinannya tahun lalu lagi dan kali ini adalah majlis penyerahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

“Saya juga ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada JKR atas komitmen menyiapkan kemudahan ini lebih awal berbanding tempoh masa empat bulan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Dewan Terbuka Berbumbung Negeri Melaka Tahun 2023 di SK Dato’ Demang Hussin, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan JKR Melaka diwakili Pengarahnya, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman, sementara itu Jabatan Pendidikan Negeri diwakili, Timbalan Pengarahnya, Karim Tumin.

Menurut beliau, bagi 2024 Jabatan Pendidikan Negeri menerima lima lagi permohonan bagi mendapatkan kemudahan dewan terbuka dari tiga sekolah dalam daerah Melaka Tengah, manakala dua lagi sekolah dalam daerah Alor Gajah.

“Pembinaan dewan terbuka dengan keluasan dan kos pembinaan yang sama akan dilaksanakan menggunakan peruntukan yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1809
Kongsi :
Previous post ‘Bank’ pantun Melaka
Next post Murid tak perlu lagi ‘berjemur’
Ubah saiz-+=