‘Bank’ pantun Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KESIDANG 27 Januari – Institut Tun Perak (ITP) merancang untuk menghasilkan sehingga 10,000 rangkap pantun baharu sepanjang tahun ini dalam usaha memperkasa dan memasyarakatkan kembali seni warisan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof. Dr. Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah berkata, inisiatif itu selaras saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk menjadikan pantun sebagai tradisi rakyat Melaka.

Jelas beliau, setakat ini pihaknya merekodkan 751 pantun disumbangkan oleh kampung-kampung seluruh Negeri Melaka.

“Mengikut perkiraan mudah jika setiap kampung menyumbang 10 rangkap pantun sasaran yang ditetapkan itu tidak mustahil mampu dicapai.

“Jabatan dan agensi kerajaan, sekolah tidak kira rendah atau menengah turut menjadi antara penyumbang pantun menerusi pelbagai pertandingan pernah kami anjurkan sebelum ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di pejabatnya di Batu Berendam, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Ainuddin berkata selain mengangkat tradisi berpantun usaha itu juga boleh menjadi panduan buat generasi akan datang tentang Negeri Melaka yang sinonim dengan seni pantun.

“Pada 2013, ITP yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) pernah mencipta rekod yang diiktiraf Malaysia Book Of Record (MBOR) kerana menghasilkan sebanyak 25,000 rangkap pantun.

“Jadi untuk tahun ini dengan adanya pertandingan dan perancangan baharu, sudah tentu kita dapat mencipta satu lagi sejarah iaitu menghasilkan koleksi pantun dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post Jom ‘healing’ di Urban Reforestation@Sungai Putat
Next post Sembilan sekolah dapat dewan terbuka baharu 
Ubah saiz-+=