Senandung Anak Melaka lonjak populariti Yasser Fikri

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Januari – “Kalau..datang ke Negeri Melaka, jangan risau nak tidur mana..hotel ada, homestay tersedia..”

Itu antara bait-bait lirik lagu Senandung Anak Melaka yang kini menjadi siulan ramai selepas ia dipilih menjadi lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pelantun lagu berkenaan Yasser Fikri Abu sama sekali tidak menyangka, lagu yang mempromosikan negeri kelahirannya itu diangkat ke suatu tahap lebih tinggi sehingga melonjakkan nama dan popularitinya.

Menurut anak jati Kampung Batang Tiga itu, dia mula berkecimpung dalam arena lagu irama Malaysia sejak tamat persekolahan dan bakatnya terus digilap sehingga mendapat perhatian komposer Fauzi Mohammad dan Siso Kopratasa yang menulis lirik lagu berkenaan.

“Bagi saya tidak banyak cabaran menyanyikan lagu seperti ini kerana saya memang meminati genre irama Malaysia dan joget, jadi tiada masalah untuk saya.

“Cuma istimewanya, lagu ini dicipta bukan untuk kemerduan tetapi ia lebih kepada konsep santai dan berseloroh dan itu menjadi antara keunikan yang saya bawakan.

“Alhamdulillah, saya bangga lagu ini mendapat perhatian ramai dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf sendiri memilih lagu ini dijadikan lagu tema dan kita juga telah mengubah sedikit lirik asalnya untuk disesuaikan dengan ‘tagline’ Ketua Menteri ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama.

Pada sambutan itu, Yasser Fikri telah mempersembahkan lagu Senandung Anak Melaka dengan penampilan khas penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Yasser, berduet dengan penyanyi nombor satu negara itu dianggap sebagai pengalaman terindah untuknya sepanjang bergelar anak seni.

“Diri saya terasa kerdil sangat, tetapi Alhamdulillah kami dipertemukan dan Datuk Seri Siti Nurhaliza sendiri menyatakan keseronokan menyanyikan lagu ini.

“Alhamdulillah semua gembira dan teruja dan saya berharap dapat merekodkan semula lagu ini bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4430
Kongsi :
Previous post Melaka layan pelancong seperti tetamu – Exco
Next post Ziana Zain tak lupa asal usul, bangga lahir di Melaka
Ubah saiz-+=