
SENTUHAN MPAG BAWA KECERIAAN, SINARI AIDILFITRI
TABOH NANING 21 Mac – Inisiatif kongsi rezeki daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menceriakan asnaf dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.
Menerusi Majlis Sumbangan Aidilfitri MPAG seramai 50 golongan kurang berkemampuan disantuni dan menerima sumbangan barangan keperluan harian serta duit raya.
Kepedulian MPAG amat dihargai Mohd Nazim Sabtu, 59, kini tinggal seorang diri di Simpang Ampat selepas kematian isterinya.
“Syukur sangat, terima kasih kerana masih ada yang ambil tahu mengenai saya, sumbangan dihulurkan sebagai tanda ingatkan ini amat besar bagi saya, Aidilfitri kali ini sudah pasti akan lebih ceria.
“Saya tidak bekerja, pendapatan pula bergantung kepada hasil jualan sayur dan cili api secara kecil-kecilan. Biasanya hasil jualan sekitar RM200 ke RM300 bergantung kepada keadaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohd Nazim berkata, demikian ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Aidilfitri MPAG di Japerun Taboh Naning pada 16 Mac lalu Naning yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Hadir sama Setiausaha MPAG Radzyma Mahat mewakili Yang Dipertua MPAG Datuk TPR. Saifuddin Abdul Karim.
Sementara itu seorang lagi penerima Nurkiah Zakaria, 36, berkata, sumbangan diterima dikongsi bersama lima Ahli keluarga termasuk anak perempuannya yang berusia 13 tahun.
“Saya bekerja sebagai pembantu kantin, sepanjang Ramadan ini kantin tidak beroperasi jadi secara tidak langsung saya terputus pendapatan, perlu berjimat cermat.
“Alhamdulillah rezeki tidak terduga ini meskipun tidak seberapa dapat membantu menceriakan Aidilfitri kami sekeluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


