Sesi persekolahan majoriti murid di negeri PKP ditangguh

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA 11 Jan. – Sesi persekolahan murid sekolah rendah hingga Tingkatan 4 di enam negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya bermula 20 Januari ini ditangguh.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, sebaliknya semua murid sekolah rendah dan menengah berkenaan akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini.

Kenyataan itu menyebut, ketetapan itu juga terpakai kepada murid Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 di Kolej Vokasional.

“Bagi sekolah di kawasan PKP, sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan DV) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari 2021.

“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama,” kata kenyataan itu di sini malam ini.

Tambahnya, bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran ini akan mengikuti pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari 2021.

Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan 4 pula katanya, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari 2021 dan surat kebenaran khas akan dikeluarkan KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan.

“Bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021. Guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

“Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

Manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

“KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri,” kata kenyataan itu di sini malam ini.

KPM jelasnya akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan.

Views:

1030
Kongsi :
Previous post PKP: Peniaga makanan bersyukur pelanggan masih boleh tapau
Next post Tiada tsunami, gempa bumi landa rantau sempadan Rusia-Mongolia
Ubah saiz-+=