Siasat dakwaan syarikat swasta jual vaksin COVID-19 – MMA

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

 

KUALA LUMPUR 23 Jun – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Majlis Perubatan Malaysia menjalankan siasatan penuh dakwaan bahawa vaksin COVID-19 dijual oleh syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, sekiranya dakwaan itu terbukti benar, tindakan tegas perlu diambil ke atas syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan itu dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang terlibat.

“MMA diberitahu bahawa vaksin dijual oleh sebuah syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian pada harga sekitar RM400 (dua dos) seorang dengan fasiliti penjagaan kesihatan swasta terlibat menjalankan vaksinasi.

“MMA mengambil serius perkara ini kerana pada masa ini kerajaan adalah pengimport dan pengedar rasmi vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Subramaniam berkata semua vaksin yang ada di negara ini adalah percuma kepada orang awam dan disediakan secara eksklusif menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pada Februari lalu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengkomersialkan vaksin COVID-19 di negara ini dengan membenarkan syarikat swasta menjualnya.

Beliau berkata tiada syarikat yang dilesenkan untuk menjual vaksin dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan membekal vaksin ke seluruh hospital termasuk hospital swasta, yang akan diberi secara percuma kepada orang ramai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post COVID: Tiga kluster baharu di Melaka
Next post Suntikan besar FDI dalam Sunway Group cermin keyakinan terhadap konglomerat, ekonomi Malaysia
Ubah saiz-+=