COVID: Tiga kluster baharu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 23 Jun – Melaka merekodkan tiga lagi pertambahan kluster baharu yang menular dalam kalangan komuniti dan tempat kerja di daerah Melaka Tengah hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kluster baharu pertama iaitu Kluster Jalan Mangga Satu membabitkan penularan dalam kalangan pekerja dua restoran di Jalan Mangga 1, Taman MGBM, Banchang dengan jumlah kes positif setakat ini seramai 25 orang.

Kata kenyataan itu, kluster baharu kedua iaitu Kluster Jalan Usaha Dua membabitkan pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 31.

“Kes indeks kluster berkenaan merupakan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Jun lalu hasil saringan bergejala.

“Bagi kluster baharu ketiga dilaporkan adalah Kluster Lorong Tun Mamat Dua yang kes indeksnya dikesan menerusi seorang lelaki berusia 25 tahun yang dilaporkan positif pada 6 Jun lalu hasil saringan kontak rapat.

“Kluster itu merekodkan jumlah kes yang positif setakat ini seramai 28 orang,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di laman Facebook rasminya melaporkan sebanyak 180 kes positif direkodkan di negeri ini.

“Turut direkodkan hari ini, pertambahan satu kes kematian membabitkan lelaki berusia 57 tahun di Alai, Melaka Tengah,” katannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post Penjawat awam ditahan, disyaki curi lembu menjelang Aidiladha
Next post Siasat dakwaan syarikat swasta jual vaksin COVID-19 – MMA
Ubah saiz-+=