Penjawat awam ditahan, disyaki curi lembu menjelang Aidiladha

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

JASIN 23 Jun – Dua individu termasuk penjawat awam antara yang ditahan kerana dipercayai terbabit sindiket curi lembu menjelang Hari Raya Aidiladha di dua lokasi berasingan di Kesang, Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada dua penternak lembu di Kampung Kemangkang dan Kesang Pajak kelmarin yang menyedari kehilangan dua ekor lembu mereka.

Beliau berkata, hasil risikan pihak polis dan pengadu mendapati lembu berkenaan telah dijual kepada seorang peraih di Krubong yang seterusnya membawa kepada penemuan dua lembu yang hilang itu.

Susulan itu, pihak polis telah membuat dua serbuan berasingan di Kampung Kelubi, Jasin dan menahan lelaki tempatan berusia 53 tahun dan warganegara Indonesia berusia 42 tahun, semalam.

“Kedua-dua lembu itu dijual kepada peraih di Krubong dengan harga RM2,700 dan RM1,400.

“Difahamkan haiwan itu dibawa dengan lori dan suspek juga mempunyai surat kebenaran asli Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pergerakan haiwan ternakan untuk dijual kepada peraih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

DUA ekor lembu yang dicuri dan dijual kepada seorang peraih di Krubong.

Mispani berkata, suspek warganegara Indonesia direman selama 14 hari, manakala lelaki tempatan yang juga pembantu am di sebuah kementerian dilepaskan dengan jaminan polis atas alasan kesihatan.

“Siasatan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis turut menerima laporan lain semalam, berhubung kehilangan tujuh lembu dianggarkan bernilai RM15,000 daripada penternak di kawasan Kesang Pajak, Jasin.

Justeru, pihaknya mempercayai terdapat rangkaian sindiket curi lembu di kawasan sekitar Kesang dan Jasin yang datangnya dari kumpulan yang sama berkait rapat dengan perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba pada 20 Julai depan.

“Kita percaya sindiket ini tidak melalui sekatan jalan raya (SJR) dan memilih jalan tikus pada waktu malam untuk mengelakkan daripada dikesan.

“Saya sudah mengarahkan semua anggota di lapangan khususnya unit rondaan jika terdapat lori-lori yang membawa ternakan ini di atas jalan raya yang mana mereka akan diarahkan pergi ke balai bagi siasatan lanjut.

“Pihak polis akan melakukan pemantauan secara berterusan memandangkan kes curi lembu sememangnya aktif berlaku menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post Menara Taming Sari sedia beroperasi semula
Next post COVID: Tiga kluster baharu di Melaka
Ubah saiz-+=