Sorting by

×

Siasat pihak kucar-kacirkan UMNO Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MERLIMAU 30 Mei – Lembaga disiplin UMNO digesa untuk menyiasat pihak yang didakwa bertindak memecah-belahkan muafakat di dalam parti itu dengan menimbulkan pelbagai spekulasi negatif membabitkan kepimpinan kerajaan negeri.

Ketua Pemuda UMNO Jasin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan pihak itu yang ingin mengganggu gugat keharmonian pimpinan UMNO dan Negeri Melaka tidak seharusnya berlaku memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) 15 semakin hampir.

Beliau berkata, selaku EXCO kerajaan negeri juga beliau tidak pernah sekali pun usul cadangan menukar Ketua Menteri diperkatakan, apatah lagi dibincangkan di peringkat EXCO serta ADUN yang lain.

“Kita mohon selepas ini jika masih ada lagi individu yang berdegil dan ingin mengucar-kacirkan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO di Melaka, kita mohon dan desak Biro Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan.

“Ini kerana ahli di bawah tiada masalah, jadi kita tidak mahu esok disebabkan beberapa pucuk pimpinan menyebabkan ahli di bawah ini melakukan kerja dalam keadaan yang gusar terutama menjelang PRU15 yang tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri ADUN Sungai Rambai Siti Faizah Datuk Abdul Azis dan ADUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar, di Japerun Merlimau, hari ini.

Akmal yang juga EXCO Kesihatan Negeri berkata, fitnah yang dimulakan oleh pembakang seharusnya dipatahkan tetapi sebaliknya berlaku apabila dikeruhkan lagi oleh individu tertentu didalam UMNO.

“Tetapi apa yang menyedihkan iailah fitnah yang dimulakan pembangkang dikeruhkan lagi oleh individu tertentu di dalam UMNO sendiri dengan mendakwa mewakili jawatan utama di dalam peringkat bahagian.

“Apa yang dinyatakan sebelum ini oleh mereka bersifat peribadi dan tidak pernah sama sekali dibincangkan apatah diputuskan oleh Biro Politik UMNO Bahagian Jasin. Maka inilah asas mengapa kita katakan semua ini pendirian peribadi,” katanya.

Sehubungan itu beliau bersama Siti Faizah dan Khaidirah sepakat menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Sulaiman dan juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

911
Kongsi :
Previous post Tiada pertukaran kepimpinan UMNO di Melaka – Ab Rauf
Next post PM saran tubuh Suruhanjaya Patuh Syariah
Ubah saiz-+=