Sibukkan diri dengan ibadah pada 10 malam terakhir – Sheikh Mohamed

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TANJUNG BIDARA 15 April – Umat Islam harus fokus melakukan ibadah sepanjang Ramadan, terutama pada 10 malam terakhir, kata Ahli Majlis Fatwa Mesir, Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim.

Beliau menegaskan, pada 10 malam terakhir Ramadan, umat Islam tidak harus terlalu sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri hingga mengabaikan ibadah.

“Pada 10 malam terakhir, jangan kita menyibukkan diri beli-belah di pasar raya, sebaliknya sibukkan diri dengan qiam atau menghidupkan malam dengan beribadah untuk mendapatkan ganjaran besar Malam Lailatul Qadr,” katanya.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu meminta jemaah berdoa dan bersedekah sepanjang Ramadan kerana ganjaran pahalanya digandakan berpuluh kali berbanding pada bulan biasa.

Katanya, jika pada bulan biasa ganjaran pahala bersedekah hanya satu, pada bulan Ramadan Allah menggandakannya hingga berpuluh kali.

Beliau yang juga Mufti Pusat Islam di Paris, Perancis berkata, sedekah bukan setakat perbuatan memberikan wang atau makanan kepada orang lain, sebaliknya ia turut membabitkan aspek yang menyeluruh dalam sistem kehidupan.

“Kalau kita angkat kayu atau batu di tengah jalan semata-mata untuk mengelakkan orang terbabit dalam kemalangan, ia juga sedekah,” katanya.

Katanya, umat Islam yang berpuasa Ramadan harus memastikan silaturahim sesama adik-beradik dan orang lain harus sentiasa dipastikan dalam keadaan baik bagi memastikan puasa mereka diterima Allah.

Sheikh Mohamed, 40, dijemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengimamkan solat berkenaan di beberapa masjid di sekitar Masjid Tanah sejak 4 April lalu dan bakal pulang ke Perancis pada Isnin ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1479
Kongsi :
Previous post Utusan Melayu: The Radical Malay Newspaper
Next post OK Group perkenal empat produk kesihatan baharu
Ubah saiz-+=