‘Sila pilih kangkung, sawi atau bendi’

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Feb. – Sebanyak 300 kilogram (kg) sayur diagihkan secara percuma oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara kepada anggota komuniti setempat semalam.

Setiap seorang hanya dibenarkan mengambil satu jenis sayur iaitu kangkung, sawi atau bendi untuk dibawa pulang bersama beras, minyak masak dan bahan makanan.

Md Rawi mengambil sayur yang diikat petugas untuk diagihkan secara pandu lalu kepada anggota komuniti di perkarangan JAPERUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Foto DIN AHMAD

Sayur dan bahan makanan itu diagihkan secara pandu lalu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di perkarangan JAPERUN berkenaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud.

Ia bertujuan meringankan beban anggota komuniti, terutama mereka yang menerima kesan langsung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.

Md Rawi berkata, kaedah pandu lalu dibuat bagi mengelak terlalu ramai penerima berkumpul di kawasan sempit sekali gus mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Md Md Rawi mengagihkan makanan secara pandu lalu kepada anggota komuniti di perkarangan JAPERUN Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Foto DIN AHMAD.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, terlalu ramai orang berkumpul di tempat pengagihan sumbangan hingga menyebabkan aspek penjagaan jarak fizikal satu meter tidak dipatuhi.

“Bagi mengelakkannya, saya menyediakan kaedah pandu lalu dan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan penerima ceria tidak perlu berbaris seperti biasa semata-mata untuk mengambil sumbangan,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Pemilihan penerima dilakukan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak pengurusan masjid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1098
Kongsi :
Previous post Lebih setengah juta rakyat Malaysia daftar untuk vaksin COVID-19
Next post Suami isteri ditahan, disyaki dera pembantu rumah Myanmar
Ubah saiz-+=