Lebih setengah juta rakyat Malaysia daftar untuk vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Sejak pendaftaran vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera hari ini, seramai 637,000 individu telah mendaftar sebagai penerima menerusi medium tersebut setakat 9 malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan berkata, pada masa ini aplikasi berkenaan dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai COVID-19 termasuk program vaksinasi.

“Aplikasi MySejahtera sekarang mempunyai hampir 21 juta pengguna unik dan mereka semua aktif, setiap hari kita dapat hampir 18 hingga 20 juta check-in. Itu menunjukkan banyak interaksi dan penggunaan MySejahtera dalam kalangan rakyat.

“Buat masa ini kita memang tidak mewajibkan penggunaan MySejahtera tetapi menggalakkan rakyat Malaysia untuk menggunakannya. Mewajibkan sesuatu bukan selalunya strategi kami, ia datang dengan kesukarelaan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Vaksin COVID-19: Selamat dan Berkesan?’ hari ini.

Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim turut menjadi tetamu program itu.

Petang tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program pendaftaran vaksinasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas perdana menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 2.43 petang, sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin itu di negara ini.

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Dalam pada itu, Dr Mahesh turut memberi jaminan mengenai keselamatan data pengguna MySejahtera memandangkan aplikasi tersebut di bawah akta penting seperti Akta Perubatan 1971 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, selain turut menjalankan hubungan strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 48 peratus kontak rapat COVID-19 berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post Polis ambil keterangan Aziz Bari
Next post ‘Sila pilih kangkung, sawi atau bendi’
Ubah saiz-+=