
SIRI GEGARAN SEGAMAT: PEMANTAUAN STRUKTUR PERLU DIPERTINGKAT
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mohd Zamri Ramli berkata walaupun gegaran yang berlaku dikategorikan sebagai lemah, kesan kumulatif daripada gegaran berulang boleh menyumbang kepada perkembangan retakan progresif pada struktur bangunan.
“Gempa bumi pertama mungkin tidak memberi kesan besar, tetapi jika berlaku beberapa gegaran susulan, ia boleh menyebabkan retakan semakin merebak. Keadaan ini dikenali sebagai progressive cracking,” katanya kepada Bernama selepas melakukan tinjauan bersama sekumpulan penyelidik susulan gegaran kecil di sini.
Beliau turut mencadangkan usaha pendidikan awam mengenai cara mengenal pasti dan memantau retakan di rumah, supaya masyarakat lebih bersedia dan peka terhadap tanda-tanda awal kerosakan struktur.
“Ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya jika berlaku gegaran lebih kuat pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu Pensyarah Kanan dari fakulti sama Prof Madya Ir Dr Mariyana Aida Ab Kadir berkata bahawa walaupun kerosakan yang dilaporkan kebanyakannya hanya melibatkan bahagian permukaan seperti plaster dan kemasan luar dan bukan struktur utama seperti tiang, pemantauan tetap perlu dijalankan secara sistematik.
Pemantauan ini bukan sahaja melibatkan pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya, tetapi turut digalakkan dalam kalangan pemilik bangunan.
“Retakan kecil mungkin tampak tidak membahayakan, tetapi ia boleh menjadi petunjuk awal kepada kelemahan struktur, lebih-lebih lagi bagi bangunan yang tidak direka bentuk secara kejuruteraan seperti rumah kampung,” katanya.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dipetik berkata gempa bumi di Segamat yang berlaku sejak 24 Ogos lepas, setakat ini hanya menyebabkan keretakan kecil di lima bangunan kerajaan di daerah itu.
Lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada 6.13 pagi 24 Ogos dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi Rabu (3.2); 7.56 malam Khamis (2.5); 4.24 pagi Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi pada Sabtu lepas (2.7).
Sementara itu, satu gegaran direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada 24 Ogos. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.