Sisih ego, guna budi bicara sebelum kompaun

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 7 Julai- Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) disaran menggunakan budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun kepada peniaga.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, malah, mereka boleh memberikan amaran terlebih dahulu, atau mencari jalan penyelesaian untuk membantu peniaga.

Menurutnya, tidak ada salahnya jika perkara itu dilakukan lebih-lebih lagi ketika negara berdepan pandemik COVID-19 ketika ini hingga menyebabkan masyarakat berdepan kesukaran.

“Saranan saya kepada penguat kuasa khususnya di bawah MPHTJ yang membuat pemantauan, kenal pasti dahulu masalah peniaga selain mengingatkan mereka supaya patuh prosedur Operasi standard (SOP).

“Sekiranya peniaga masih berdegil selepas diberi amaran berkali-kali dan jelas melanggar SOP barulah kompaun sewajarnya dikenakan.

“Peniaga juga apabila penguat kuasa sudah beri budi bicara, diharapkan bagi kerjasama sewajarnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Menurut Shadan, mengikut saranan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, bahawa Melaka bebas berniaga, jadi ramai mengambil inisiatif berniaga kecil-kecilan di tepi jalan.

Katanya, ramai peniaga kecil-kecilan itu terdiri daripada golongan terkesan dengan pandemik COVID -19 dan mencari pendapatan harian.

“Ketika pemantauan saya di Jalan Tun Hamzah pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lalu, 24 penjaja diberikan lesen. Bila pandemik reda dan beberapa sektor dapat dibuka, peniaga mula berkurang di situ.

“Namun pada PKP 3.0 ini jumlah penjaja dan peniaga di situ umpama cendawan tumbuh selepas hujan dan menyebabkan pihak penguat kuasa perlu kerap membuat pemantauan di situ.

“Jadi, saya ingatkan supaya redakan rasa benci kepada pihak berkuasa, penguat kuasa perlu banyak berbincang dan buang sikap ego serta guna budi bicara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post Dunia perlu pendekatan baharu tangani COVID-19
Next post Program bakul makanan bantu 3,000 penduduk Parlimen Alor Gajah
Ubah saiz-+=