
SISTEM JALAN SEHALA DURIAN TUNGGAL BERKESAN LANCARKAN TRAFIK
AYER LIMAU 18 Ogos – Pelaksanaan sistem jalan sehala dengan konsep ‘ring road’ di Durian Tunggal sejak seminggu lalu dilihat memberi kesan positif terhadap kelancaran trafik di kawasan tersebut.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, walaupun masih terdapat sedikit rungutan pada peringkat awal, namun orang ramai dilihat sudah mula menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
“Pelaksanaan ini sangat-sangat positif, cuma ia perlukan masa untuk orang ramai biasakan diri.
“Tempoh percubaan dua minggu sedang berjalan dan dalam tempoh itu kita akan buat penambahbaikan, termasuk papan tanda dan jajaran jalan untuk bantu kelancaran trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Wira Disanjung, Bakti Dikenang Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Bola A, Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, semalam.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid.
Menurut Hameed, selain Durian Tunggal, Simpang Paya Keladi berhampiran Tol Ayer Keroh juga telah diberi jajaran baharu dengan konsep ‘no right turn’ serta pemasangan lampu isyarat baharu.
“Beberapa lokasi lain di Bandar Melaka turut sedang dikaji untuk melaksanakan kaedah sama dalam masa terdekat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.