‘Skuad 12 Penghulu’ santuni gelandangan setiap minggu

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

KOTA LAKSAMANA 25 Sept – Sebuah skuad khas sukarela ditubuhkan dianggotai 12 penghulu dalam daerah Melaka Tengah bagi menyantuni gelandangan dan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Penghulu Kanan Parlimen Kota Melaka, Nor Azmi Mahmood berkata, skuad khas itu yang turut dibantu pelbagai jabatan kerajaan akan menemui golongan terbabit pada setiap minggu di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi sasaran mereka.

Menurutnya, skuad khas yang baharu digerakkan sebulan lalu itu mensasarkan menemui lima hingga 60 orang daripada golongan berkenaan bagi disantuni dan diberi bantuan makanan tengahari.

NOR Azmi

“Penubuhan skuad khas ini merupakan susulan daripada cadangan dan harapan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang mahukan penjawat awam memainkan peranan utama dan paling ke hadapan dalam membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.

“Selain penghulu dalam daerah Melaka Tengah, agensi kerajaan lain yang turut menyertai skuad khas ini terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB),” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau ditemui pada operasi mingguan skuad khas yang terdiri daripada 12 orang mewakili pelbagai agensi bagi menyantuni golongan gelandangan dan orang awam terkesan di sekitar Hang Tuah Mall.

Operasi yang bermula pukul 1 tengah hari itu menemui sekurang-kurangnya 10 orang yang didapati berkeliaran sekitar kawasan tersebut dan diberi makanan tengahari berupa nasi minyak berlauk ayam kari.

PETUGAS skuad menyerahkan makanan tengahari kepada orang awam yang melalui salah sebuah deretan kedai berdekatan Melaka Sentral.

Menurut Nor Azmi, skuad dipecahkan kepada tiga bahagian selain sekitar Hang Tuah Mall, dua skuad lain menumpukan kawasan sekitar Melaka Sentral dan Cheng atau Krubong.

“Kita akan edarkan kira-kira 100 bungkus makanan tengahari kepada golongan sasaran ini di semua kawasan yang terlibat dan sumbangan diperolehi daripada pertubuhan bukan kerajaan, orang persendirian dan daripada JAPERUN sendiri.

“Skuad ini sudah bergerak hampir sebulan lalu dan diketuai secara bergilir-gilir oleh pihak JAPERUN (Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN),” katanya.

NOR Azmi memberi taklimat kepada anggota pasukan skuad mengenai pergerakan operasi menyantuni golongan gelandangan dan orang awam di Hang Tuah Mall.

Menurut beliau, usaha itu akan digerakkan secara berterusan sehingga isu gelandangan ini dapat ditangani secara menyeluruh oleh agensi yang terlibat.

“Pada awalnya mereka ini sukar didekati kerana beranggapan skuad mahu menahan mereka tetapi sebenarnya kita hanya menyantuni dan membantu mereka.

“Ini kerana ada di antara mereka yang mempunyai pekerjaan sebelum ini tetapi disebabkan pandemik, mereka hilang pekerjaan dan punca rezeki serta tidak tahu bagaimana menyalurkan masalah yang dihadapi,” katanya.

Melalui skuad itu juga jelasnya, mereka akan mengumpul maklumat mengenai status orang gelandangan yang ditemui untuk tindakan susulan agensi kerajaan terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post Gadis patah rusuk tetap hadir vaksin biarpun berkerusi roda
Next post Pencuri pokok hiasan akan didakwa! – MPHTJ
Ubah saiz-+=