Skuad tenis remaja Melaka, Singapura beradu kekuatan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Skuad tenis remaja Melaka beradu kekuatan dengan skuad tenis remaja Singapura dalam satu aksi persahabatan yang diadakan di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), MITC, di sini, baru-baru ini.

Acara anjuran Melaka Lawn Tennis Association (MLTA) itu mengumpulkan seramai 30 peserta berumur dalam lingkungan 10 hingga 23 tahun.

MLTA dalam satu kenyataan memaklumkan, acara itu juga diadakan sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan mendatang termasuklah Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur yang dijadual pada September depan.

“MLTA percaya menerusi pendedahan seperti ini ia dapat meningkatkan lagi prestasi pemain ke satu tahap lebih tinggi.

“Acara seperti ini juga menjadi medan kepada pemain meningkatkan tanda aras kemahiran dan prestasi mereka selain mendapat tunjuk ajar dan perkongsian pengalaman daripada otai dalam sukan tenis.

“Antara yang hadir ialah bekas juara kebangsaan Tan Poh Seng; bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Perlis William Cheng Joo Chong dan bekas Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia Lee Seck Chuan yang turut berkongsi ilmu kepada jawatankuasa baharu MLTA,” kata kenyataan itu.

ANTARA skuad tenis remaja Melaka yang menerima pendedahan daripada aksi persahabatan dengan pemain tenis remaja Singapura.

MLTA kini berada di bawah pengurusan baharu dengan 14 pemegang jawatan sudah memulakan tugas dalam memacu sukan tenis negeri ke aras yang lebih tinggi.

“MLTA akan meneruskan visi kami untuk terus membawa kegemilangan sukan tenis bertepatan dengan slogannya ‘Tenis Untuk Semua’.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam sukan ini, tidak dilupa juga kepada kerajaan negeri dan penaja-penaja yang banyak memberi sumbangan.

“Begitu juga kepada ibu bapa yang tidak putus-putus memberi semangat untuk memajukan sukan tenis di Melaka. Kami berjanji akan berusaha lebih gigih untuk merealisasikan hasrat tersebut,” kata MLTA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1890
Kongsi :
Previous post Malaysia masih tunggu keputusan rayuan kuota haji tambahan – Idris
Next post Usaha ‘hidupkan’ Joget Serampang Laut, tarian tradisional Melaka era 70-an
Ubah saiz-+=