Sorting by

×

Usaha ‘hidupkan’ Joget Serampang Laut, tarian tradisional Melaka era 70-an

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Institut Warisan Melaka (INSWA) terus komited dalam menjaga seni warisan Melayu Melaka khususnya tarian tradisional agar ia tidak luput ditelan zaman.

Baru-baru ini, INSWA telah bekerjasama dengan seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang bagi tujuan menjalankan kajian gerak tari Joget Serampang Laut, iaitu salah satu tarian lama yang masih dikekalkan hingga kini.

Menurut Pengurus Besar INSWA Nurman Mohd Baroldin, Joget Serampang Laut merupakan tarian tradisional berasal dari Melaka yang mula diperkenalkan sekitar tahun 1970-an oleh Allahyarham Syed Manaf.

Katanya, Allahyarham Syed Manaf merupakan mentor dan guru kepada Ketua Unit Kebudayaan INSWA Noriah Ahmad yang turut memainkan peranan dalam menyuburkan seni tarian tersebut kepada generasi masa kini.

Nurman berkata, kajian bertujuan memelihara warisan tarian berkenaan telah diadakan di USM Pulau Pinang pada 17 dan 18 Mei lalu yang turut diselia Pensyarah Pusat Pengajian Seni USM Dr Nur Zaidi Azraai.

Ujar beliau, penyelidik USM telah menggunakan teknologi Tangkapan Gerakan (Motion Capture) untuk merakam pergerakan pasangan penari INSWA yang bertujuan untuk memahami serta mendalami ragam dan pergerakan tarian tersebut.

“Teknologi Tangkapan Gerakan tersebut bertujuan untuk merakam pergerakan pasangan penari sewaktu menarikan Joget Serampang Laut yang akan digunakan sebagai sumber rujukan bagi kajian yang sedang dijalankan.

“Dengan bantuan teknologi yang canggih ini, setiap ragam Joget Serampang Laut ini mampu dirakam dengan lebih jelas dan terperinci berbanding dengan menggunakan rakaman video biasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

TEKNOLOGI tangkapan Gerakan (Motion Capture) untuk merakam pergerakan pasangan penari.

Tambah Nurman, menerusi kajian yang dijalankan itu, ia bukan sahaja dapat memelihara tradisi warisan Melayu secara holiskan.

Bahkan, katanya, pemvisualan mikro terhadap gerakan itu dapat memberi pemahaman lebih jelas terhadap falsafah warisan tersebut.

“Memelihara warisan secara praktikal tidak mencukupi jika falsafah dan maksudnya tidak difahami. Oleh itu, penerokaan visual mikro ini berpotensi untuk memberi pandangan yang jelas kepada falsafah warisan tersebut.

“Selain itu, potensi daripada visual tersebut juga boleh diolah untuk kepelbagaian tujuan seperti mentransformasikan simbol tersebut menjadi seni kraf melayu.

“Pada masa sama, ia juga menterjermahkan bahasa gerak tubuh kepada visual bagi pemahaman yang lebih teliti kepada ekspresi dan maksud gerak tari tersebut,” katanya.

Selain menjalankan kajian, delegasi INSWA ke Pulau Pinang turut mengadakan Bengkel Gerak Tari yang bertempat di Panggung Sasaran USM yang disertai pelajar jurusan Seni Persembahan USM, diketuai oleh Dr Andika Aziz Hussin selaku Ketua Unit Drama dan Teater, Pusat Pengajian Seni USM.

Bengkel tersebut diadakan bagi mengajar asas pergerakan tubuh badan di dalam tarian kepada para pelajar drama dan teater yang baharu memulakan kelas secara bersemuka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3990
Kongsi :
Previous post Skuad tenis remaja Melaka, Singapura beradu kekuatan
Next post Bekalan ayam di Johor mencukupi
Ubah saiz-+=