SMB2035 panduan transformasi digital Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 20 Ogos – Smart Melaka Blueprint 2035 atau dikenali sebagai SMB2035 menjadi dokumen panduan utama bagi pelaksanaan transformasi digital Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, SMB2035 adalah dokumen strategik disediakan Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Sulaiman berkata, SMB2035 adalah gabungan pendigitalan, pentadbiran, perniagaan dan penyelidikan.

“SMB2035 mempunyai tujuh komponen utama bakal menerajui inisiatif digital Melaka menjelang 2035 iaitu Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Infrastruktur Digital Pintar Mobiliti Pintar dan Komuniti Pintar, Kehidupan Pintar serta Persekitaran Pintar.

“Berikutan itu satu jawatankuasa pemandu diwujudkan bagi menyelaras semua inisiatif dan menggerakkan pelaksanaan di dalam SMB2035 dinamakan Melaka Implementation Committee (SMIC) dipengerusikan Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Smart Melaka Blueprint 2035, Pelancaran Asia’s First Metaverse Immersive Experience Mall dan Pra Pelancaran Smart Melaka International Conference 2022 (SMIC 2022) di Element X, Hatten City, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Badaruddin Mohd Kassim, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dan Pengarah Urusan Hatten Datuk Colin Tan.

Menurut Sulaiman, komponen Kerajaan Pintar, pembangunan dan pemerkasaan platform digital, aplikasi pintar serta kandungan digital akan meningkatkan perkhidmatan digital merentasi sektor awam, swasta selain industri.

“Kerajaan negeri juga amat menggalakkan pelaburan dan inisiatif digital oleh pihak swasta, sehubungan itu satu projek dibawah inisiatif pelaburan swasta dilancarkan iaitu Asia’s First Metaverse Immersive Experience Mall yang akan menjadi E-Sport Hub Resort pertama di dunia.

“Malah penjenamaan Element X juga turut melibatkan Arena X yang bakal menjadi pusat e-sukan bertaraf antarabangsa terbesar di rantau ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SMIC 2022 anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Melaka ICT Holdings Sdn Bhd bersama rakan strategik lain akan berlangsung pada 7 hingga 9 Disember depan.

“Persidangan itu akan membabitkan pakar tempatan dan antarabangsa yang akan berkongsi pengalaman dan idea baharu malah ia bakal menjadi katalis kepada peningkatan pelaburan serta industri digital di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2528
Kongsi :
Previous post Anak Melaka lahir 31 Ogos dijemput hadiri Majlis Jamuan Teh bersama TYT
Next post Wanita berihram kerjakan umrah masih dicari
Ubah saiz-+=