Soal agihan kerusi, kerjasama antara parti belum muktamad-Ahmad

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Soal agihan kerusi dan kerjasama antara parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tarikh mesyuarat MKT itu bagaimanapun akan ditentukan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini.

“Hari ini ada banyak mesyuarat. Sejak petang tadimesyuarat dengan Biro Politik.

“Malam ini mesyuarat MKT. Sudah tentu banyak perkara dibincangkan antaranya, mengenai PRN DUN Melaka.

“Agihan (kerusi) dan kerjasama antara parti politik tidak diputuskan dalam mesyuarat malam ini. Akan ada mesyuarat (MKT) sekali lagi untuk menentukannya,” katanya ditemui selepas tamat mesyuarat MKT sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian ketika ditanya sama ada isu agihan kerusi dan kerjasama di antara parti membabitkan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, MKT juga memutuskan supaya jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRN sekiranya perkara itu diumumkan SPR.

“Tentunya kita tunggu penuh debaran keputusan SPR pada Isnin ini. Apa pun keputusan mesyuarat MKT pada malam ini ialah semua jentera perlu mempersiapkan portfolio masing-masing dengan rapi.

“Sama ada PRN diadakan dalam tempoh terdekat atau ditangguhkan, PRN Melaka tetap diadakan. Itulah sebabnya kita mengarahkan jentera membuat persiapan.

“Mulai esok iaitu 15 Oktober hingga 30 November, semua persidangan UMNO cawangan akan diadakan di 191 bahagian,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata mesyuarat berkenaan turut memutuskan pengguguran keahlian UMNO bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

440
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: MKT belum capai keputusan muktamad
Next post Semua UMNO cawangan perlu bersidang di 191 bahagian esok
Ubah saiz-+=