SPED persiap guru mendepani kurikulum STEM

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALOR GAJAH 15 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa komited dalam mempersiapkan guru untuk mendepani kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) .

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, selain memberi pendedahan kepada murid, ilmu pembelajaran berkaitan STEM juga turut difokuskan kepada guru-guru supaya mereka bersedia dalam membimbing pelajar mereka.

“Hasrat dan usaha kita dapat diterjemahkan menerusi penganjuran simposium ini apabila Melaka menjadi negeri pertama menganjurkannya.

“Simposium ini bertujuan memberi pendedahan kepada guru tentang ilmu dan maklumat berkaitan agar ia dapat digunakan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penutup Simposium Pendidikan STEM Digital (SPED) 2023 yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri, Rubaiya Abu Nawas, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, penganjuran SPED juga selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu memperkasakan pendidikan STEM dalam kalangan murid sekolah rendah.

“Seperti di Melaka kita tiada masalah membabitkan keperluan guru tidak mencukupi cuma guru sedia ada ini kita perlu memberi pendedahan dari segi pendigitalan kerana ada di antara mereka kurang berkemahiran.

“Apabila adanya simposium dan juga pertandingan dalam masa yang sama ia secara tidak langsung guru-guru dapat membina kreativiti dan pengetahuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post Lexus, Proton X70 hadiah cabutan bertuah TMM2024
Next post Menara Kuala Lumpur bantu rancakkan pelancongan sukan di Melaka
Ubah saiz-+=