Spilt Gravy on Rice rangkul Filem Terbaik FFM32

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KLEBANG 3 Disember – Penantian selama 11 tahun ‘memeram’ karya akhirnya berbayar apabila filem Spilt Gravy on Rice dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) di Encore Melaka, malam tadi.

Anugerah kemuncak itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Senator Datuk Seri Zurainah Musa serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim.

Filem itu turut mendominasi tujuh kemenangan daripada 14 kategori yang dicalonkan sekali gus membolehkan penerbitnya, ZSA Productions Sdn Bhd dan Nuansa Sdn Bhd membawa pulang trofi serta Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Enam kategori lain yang dimenangi adalah Pengarah Harapan menerusi Datuk Zahim Albakri Ikmal; Rekaan Busana Terbaik; Penataan Seni Terbaik; Penyunting Terbaik; Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Juliana.

62713D7D-8578-49A7-8313-94B9EB9A4E6F
Persembahan pembukaan pada Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) di Encore Theatre, Melaka. Foto: MR. AZLI

Selain filem terbabit, filem Small Town Heroes turut merangkul tujuh anugerah menerusi kategori Pengarah Terbaik (Ryon Lee Eng Keong); Pelakon Kanak-kanak Terbaik (Phua Chandler); Pelakon Wanita Harapan (Layla Sania); Skor Muzik Asal Terbaik; Poster Terbaik; Sinematogorafi Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan turut memberi tuah apabila Datuk Adi Putra memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan gandingannya, Beto Kusyairi dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala dua lagi diraih menerusi Anugerah Khas Filem Box Office dan Anugerah Khas Juri.

Pengarah yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Tan Chu Mui dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Barbarian Invasion.

Festival filem berprestij itu turut mengiktiraf dua seniman lagenda yang cukup popular pada era 60an hingga 70an iaitu Mat Sentul sebagai penerima Anugerah Seniman Sepanjang Zaman manakala Datuk Sarimah Ahmad penerima Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman.

FFM32 yang julung kali diadakan di luar Lembah Klang dikendalikan oleh Awal Ashari dan Cik Puan Sarimah Ibrahim dengan menyaksikan 31 kategori dipertandingkan.

Kegemilangan festival itu turut diserikan dengan persembahan Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan dan Hazama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2152
Kongsi :
Previous post Bagai menjamu selera di ‘zaman silam’
Next post FINAS alu-alukan kerjasama penganjuran FFM dengan Kerajaan Negeri
Ubah saiz-+=