SPNB bina 6,600 unit Rumah Mesra Rakyat tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 24 April – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperuntukkan sebanyak 6,600 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,500 unit rumah RMR 1.0 akan dibina manakala 3,100 unit lagi diperuntukkan bagi membina RMR 2.0 di seluruh negara.

Menurutnya, RMR 2.0 yang baru diperkenalkan itu merupakan sebuah inisiatif mudah buat pemohon untuk memiliki sebuah rumah dalam tempoh singkat.

“RMR 2.0 ini umpama sebagai ‘fast lane’ buat pemohon di mana berbanding RMR 1.0 pemohon perlu membayar RM300 dalam tempoh 16 tahun namun inisiatif yang baru diperkenalkan ini membuka peluang kepada pemohon tanpa perlu menunggu giliran.

“RMR 2.0 mensyaratkan mereka perlu membayar jumlah seunit rumah secara tunai dan daripada itu mereka tidak perlu melakukan cagaran tanah berbanding RMR1.0 yang memerlukan kos guaman, perjanjian, cagaran dan duti setem.

“Konsep reka bentuk dan harga yang ditawarkan bagi kedua-dua inisiatif ini adalah sama dengan harga RM75,000 seunit dan mendapat potongan subsidi RM20,000 daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Aidilfitri dan Penyerahan Kunci Serta Inden Kerja RMR SPNB Cawangan Melaka diadakan di Kampung Durian Daun, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya di Melaka sebanyak 3,213 unit RMR telah dibina sejak 2022 hingga tahun lalu dan tahun ini pihaknya menyasarkan sebanyak 130 unit lagi akan dibina pada bulan ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 39 unit RMR 2.0 akan dibina di Melaka sejurus selepas penyerahan inden kepada kontraktor di negeri ini.

“Sebanyak 7,336 permohonan bagi membina RMR 1.0 di Melaka daripada 190,000 permohonan seluruh negara dan dari angka permohonan ini pemohon perlu menunggu giliran berbanding permohonan RMR2.0,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

226
Kongsi :
Previous post MARA perkenal program Mini Ulul Albab di 49 MRSM bermula tahun ini
Next post Melaka anjur karnival himpun anak-anak istimewa
Ubah saiz-+=