Strategi gerak kerja pilihan raya PN silap besar – Pak Wan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

GADEK 27 Nov – Strategi gerak kerja pilihan raya yang silap dan lemah menyebabkan Perikatan Nasional (PN) tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka minggu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kegagalan menyusun strategi berkesan membuka peluang kepada Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar.

Beliau juga menyifatkan peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi PN negeri dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka semalam adalah wajar.

Mohd Redzuan yang lebih mesra dengan panggilan Pak Wan berkata, beliau kesal kerana tidak dibabitkan PN negeri dalam menyusun strategi gerak kerja itu sedangkan beliau antara pihak yang bertanggungjawab membantu menubuhkan Bersatu di negeri ini.

Beliau berkata, kebanyakan anggota gerak kerja jentera PN datang dari luar Melaka yang tidak mengenali pengundi sesuatu kawasan, apatah lagi untuk menawan hati mereka.

“Kesilapan besar PN ialah kelemahan struktur kepemimpinan menyusun gerak kerja jentera yang memberikan kemenangan besar kepada BN.

“Struktur pengurusan gerak kerja jentera tidak tersusun dan jentera luar lebih ramai daripada jentera tempatan dan mereka tidak mengenali pengundi tempatan,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 10 mangsa ribut di Taman Bukit Sebang, Pulau Sebang di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, kelemahan meletakkan calon yang tidak dikenali anggota komuniti juga antara faktor kekalahan PN di 26 kerusi.

“Calon tidak sempat mendekati pengundi untuk menyatakan kemampuan memberikan perkhidmatan sebagai wakil rakyat dan ia ditambah pula dengan larangan berkempen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bakal pengganti Mohd Rafiq supaya menyediakan pelan pemulihan PN dengan mengemukakan idea baharu yang mampu menambah baik parti.

Pada PRN minggu lalu, PN tewas di 26 kerusi dan dua kerusi yang dimenangi ialah di Sungai Udang melalui calon PN-Bersatu, Dr Mohd Aleef Yusof dan di Bemban, juga melalui calon PN-Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

882
Kongsi :
Previous post Bantuan kewangan kepada pemain industri pertanian akan diumum – Nanta
Next post MOT gesa syarikat penerbangan turunkan harga tambang
Ubah saiz-+=