Sukan Komanwel: Aaron kembali jalani latihan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Perkhabaran positif buat kem badminton negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia dilihat kembali menjalani latihan seperti sedia kala.

Aaron, sebelum ini dijangkiti COVID-19, mula menjalani latihan bersama pasangannya Soh Wooi Yik, sekali gus menyuntik semangat kem badminton negara dalam usaha mencapai sasaran dua pingat emas ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di temasya berprestij itu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata perkembangan terkini itu memberikan kelegaan buatnya dalam merangka persiapan terakhir buat gandingan Aaron-Wooi Yik sebelum berlepas ke Birmingham.

“Keadaan Aaron tidak ada apa-apa masalah. Dia sudah menjalani latihan sejak tiga hari lalu.

“Di atas gelanggang saya lihat dia cukup konsisten. Memang ada sedikit gangguan dari segi pergerakannya namun saya lihat pagi tadi keadaan itu kembali normal,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Menerusi hantaran di laman sosial Instagramnya, Aaron pada minggu lalu mengesahkan bahawa dirinya didapati positif COVID-19.

Aaron memaklumkan beliau berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami batuk serta gejala ringan.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos.

Kem badminton negara ke Sukan Komanwel dijangka berlepas esok.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

982
Kongsi :
Previous post Persepsi kehadiran PPD di sekolah sebagai ‘mencari salah’ perlu diubah – Radzi
Next post Pasangan suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak perempuan
Ubah saiz-+=