Pasangan suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak perempuan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Sepasang suami isteri ditahan di Beranang, Hulu Langat, di sini bagi membantu siasatan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pasangan terbabit ditahan di rumah mereka pada 2.30 pagi selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 12.14 tengah malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan didakwa dipukul dan dipaksa memakan nasi sehingga termuntah.

“Siasatan juga mendapati kejadian disebabkan kanak-kanak yang dikatakan hiperaktif itu tidak suka makan nasi dan pasangan terbabit memaksanya untuk telan nasi sehingga termuntah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata kanak-kanak itu dikatakan dipukul pasangan terbabit menggunakan penyangkut pakaian, kayu penyapu dan dicucuh dengan pemetik api.

Beliau berkata pemeriksaan oleh doktor di Hospital Kajang mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Mohd Zaid berkata kanak-kanak itu merupakan anak seorang wanita Indonesia dan kelahirannya tidak pernah didaftarkan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kanak-kanak itu diserahkan kepada pasangan terbabit pada April lepas kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya,” katanya.

Beliau berkata wanita berusia 28 tahun itu dan suaminya warga Singapura berusia 30-an direman sehingga 28 Julai. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post Sukan Komanwel: Aaron kembali jalani latihan
Next post Rangkaian 5G mampu lonjak daya saing ekonomi, tahap produktiviti dan nilai tambah industri
Ubah saiz-+=