Sukarelawan kebersihan bantu PBT indahkan Melaka
AYER KEROH 22 September – Kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini digalak melantik sukarelawan kebersihan dalam membantu menjaga kebersihan kawasan pentadbiran masing-masing.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, kewujudan sukarelawan itu sudah pasti dapat memastikan kawasan pentadbiran PBT lebih indah dan terjaga, sekali gus menaikkan imej Negeri Melaka di mata pelancong.
Katanya lagi, kewujudan lebih ramai pihak membantu dalam aspek kebersihan juga berupaya menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi.
“Saya yakin di peringkat PBT juga sedang ke arah itu kerana untuk menjaga sesuatu kawasan yang besar memerlukan lebih ramai anggota kebersihan.
“Apabila ada sukarelawan nanti, mereka akan menjadi contoh kepada masyarakat luar supaya menjaga kebersihan sekali gus mengindahkan kawasan pelancongan di negeri ini.
“Sukarelawan ini sudah pasti sangat membantu kerana tenaga mereka lebih kuat, saya yakin mereka juga sayangkan negeri Melaka, jika PBT sudah bersedia memberikan khidmat terbaik kepada pelancong, maka perlulah wujudkan sukarelawan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan World Cleanup Day MPHTJ 2023 mewakili Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin di Tandas Awam MITC di sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khairuladha Ab Mutalib.
Terdahulu dalam ucapannya, Zulkiflee berkata ‘World Cleanup Day’ adalah program permulaan pergerakan sivik secara global yang menyatukan masyarakat dari seluruh dunia untuk bekerjasama dalam membersihkan sampah.
“Langkah ini menjadi inspirasi kepada seluruh dunia mengembleng tenaga bagi menjayakan aktiviti ini setiap tahun mengikut formula ‘satu hari, satu bumi, satu matlamat’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.