Sukarelawan PUHA luluh hati lihat nasib mangsa banjir

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

MELAKA 31 Dis – Sukarelawan Pertubuhan Ukhwah Harmoni Malaysia (PUHA) tidak mampu menahan sebak apabila melihat nasib mangsa banjir di Kampung Gajah Mati dekat Mentakab, Pahang.

Menurut Presidennya, Mohd Farid Eshak, ketika menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjir, mereka disapa oleh seorang lelaki warga emas kurang upaya yang tinggal di atas bumbung sebuah rumah yang ditenggelami air.

Katanya, warga emas yang dikenali sebagai pak cik Mat, 70 itu, dilihat bersusah-payah menuruni bumbung rumahnya setelah empat hari tinggal di situ dengan ditemani dua orang anaknya berusia 30-an.

“Mereka hanya makan biskut dan makanan segera yang berjaya diselamatkan setelah rumah mereka dimasuki air buat kali kedua dalam tempoh empat hari sahaja.

“Jelas tergambar kegembiraan pada wajah pak cik Mat apabila melihat kumpulan kami melalui hadapan rumahnya untuk membantu mereka.

“Ketika itulah ada dalam kalangan sukarelawan kami menangis kerana terlalu sebak melihat kepayahan yang dialami mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Seramai 20 sukarelawan PUHA terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir dengan membawa pelbagai barangan keperluan dan makanan kering dengan dana keseluruhan yang berjaya dikumpul sebanyak RM10,000 melalui sumbangan orang ramai dalam tempoh dua minggu.

Tambah Mohd Farid, pak cik Mat dan anaknya terpaksa memanjat bumbung rumah mereka untuk menyelamatkan diri bagi menunggu bantuan daripada pihak berkuasa setelah rumah dilanda banjir buat kali kedua sejak kelmarin.

Katanya, hampir keseluruhan kandungan isi rumah pak cik Mat musnah dan mereka hanya mampu melihat pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, televisyen dan peti ais dihanyutkan air banjir yang deras.

PAK Cik Mat ceria menerima barang bantuan selimut yang disampaikan oleh Mohd Farid ketika misi bantuan PUHA membantu dan membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Gajah Mati dekat Mentakab, Pahang baru-baru ini.

“Setelah menghulur bantuan makanan, kami membantu membersihkan rumah pak cik Mat termasuk mencuci pelbagai pelalatan barangan dapur, itulah yang hanya mampu kami lakukan demi meringankan keperitan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir.

“Selain rumah pak cik Mat, kami bergerak ke tiga buah rumah lain yang turut mengalami nasib sama dan sukarelawan kami juga terlibat membersih serta mencuci masjid yang turut dinaiki air banjir dan memusnahkan sebahagian besar isi kandungan didalamnya,” ujarnya.

Katanya, mereka pada awalnya memilih untuk mengagih bantuan di bandar Mentakab namun membatalkan hasrat tersebut memandangkan bantuan sudah banyak diberikan kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Akhirnya kami bergerak ke kampung Gajah Mati yang terletak agak hujung dari Mentakab dan kami yakin penduduk di situ masih belum mendapat bantuan.

“Ternyata perkiraan kami benar, memang tidak ramai lagi NGO masuk ke kampung tersebut malah ada lagi kampung sekitarnya yang masih belum mendapat bantuan,” katanya.

SUKARELAWAN PUHA giat membersih dan mencuci rumah pak cik Mat yang dinaiki air banjir di Kampung Gajah Mati, Mentakab Pahang baru-baru ini.

Menurut beliau, selepas ini, misi diteruskan di daerah Temerloh seterusnya ke Kelantan sebelum mengakhiri misi di Lubok China, Melaka untuk tempoh beberapa hari lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1384
Kongsi :
Previous post MTC salur RM600,000 bantu usahawan Bumiputera terkesan banjir
Next post Industri kayu catat nilai eksport RM17.95 bilion tahun 2021
Ubah saiz-+=