Sulaiman nafi letak jawatan Ketua Menteri (UPDATE komen dan reaksi EXCO)

Masa Membaca:3 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menafikan dakwaan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri sebaliknya ia hanya ura-ura yang ingin mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat hari ini beliau masih memegang jawatan itu dan akan terus berkhidmat sehabis baik untuk rakyat di negeri ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus
berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

“Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Melaka yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Kenyataan Ketua Menteri itu turut mendapat reaksi dan komen barisan EXCO kerajaan negeri yang memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan Sulaiman.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata keberadaan Sulaiman adalah selari dgn aspirasi rakyat dan pimpinan parti,beliau seorang individu yang mempunyai pakej lengkap untuk menjadi seorang pemimpin.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman. Foto Iqmal Haqim Rosman

Katanya, kepimpinannya menerajui kerajaan negeri bukan sahaja disenangi rakyat malah turut diterima baik oleh rakan strategik iaitu pihak pembangkang.

“Beliau mempunyai karisma dan karakter yang memenuhi pakej pemimpin malah beliau tidak mempunyai sebarang isu yang boleh diketengahkan sama ada dalam parti mahupun pihak lawan dan Melaka amat bertuah mempunyai pemimpin seperti Yang Berhormat Datuk Seri Sulaiman.

“Yang Berhormat Datuk Seri Utama Sulaiman juga amat disenangi dengan cara dan kaedah berhemah serta pendekatan yg diterapkan dalam kalangan pegawai kerajaan malah mereka seronok dengan kepimpinannya.

“Keseronokan itu yang saya panggil ‘key happiness indicator’ (KHI). Perkara itu amat penting kepada kakitangan kerajaan kerana KHI mampu menyumbang kepada pencapaian tanggungjawab dan penugasan atau kerja lebih baik lagi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata beliau amat tidak bersetuju sekiranya ada cubaan untuk menjatuhkan Sulaiman kerana pada masa sekarang ini adalah keutamaan mandat rakyat yang mahu melihat kerajaan stabil menerajui Melaka.

“Saya amat tidak setuju sekiranya cubaan untuk menukar pimpinan kerajaan negeri buat masa ini. Mandat rakyat mesti diteruskan iaitu mahukan kerajaan yang stabil serta pimpinan terbaik yang wajib diteruskan dan kita tidak boleh mengkhianati mandat tersebut.

“Saya sendiri bersyukur berada dalam pasukan pimpinan yang diketuai oleh beliau dan saya seronok bekerja serta sanggup bekerja tanpa mengira waktu dan berbuat apa sahaja demi kebaikan Melaka,” katanya.

EXCO Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan turut menyatakan pendirian sama terhadap Sulaiman.

“Saya dan Datuk Seri Utama Sulaiman berpengalaman atau wajar digelar ‘senior’ dalam pentadbiran Melaka dan hari ini saya menyatakan sokongan disebalik ketokohan beliau untuk kekal sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Pengalaman saya secara peribadi bersama beliau sehingga tiga penggal adalah saya melihat terdapat usaha-usaha cuba untuk merosakkan hubungan baik antara EXCO yang dilantik Ketua Menteri hari ini dengan mewujudkan kesangsian kepada rakyat negeri Melaka bahawa seolah-olah benar berlaku pergolakan.

“Perkara ini akan diambil peluang oleh pembangkang untuk membesarkan isu yang sebenarnya tiada. Dan tidak dinafikan terdapat puak dalaman yang melihat peluang (golongan oportunis dalam parti UMNO) sekiranya berlaku pergolakan dalam kepimpinan negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Serkam berkata beliau mempunyai pengalaman bersama-sama dari kerajaan du pertiga sehingga UMNO dapat menjadi kerajaan sepenuhnya di Melaka.

EXCO Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri yang juga ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau tetap dengan pendirian menyokong penuh terhadap kredibiliti Sulaiman untuk menerajui kerajaan negeri.

“Saya tidak mahu komen berlebihan namun apa sahaja yang berlaku, saya tetap teguh berdiri di belakang Yang Berhormat Datuk Seri Sulaiman dan menyokong kepimpinannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post MAQIS P. Pinang rampas daging babi diisytihar produk ikan
Next post Teruskan semangat juang bawa pulang Piala Thomas – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=