SunPower bantu kelestarian penyu karah

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Okt. – Usaha menjaga kelestarian penyu karah di negeri ini menerima sentuhan bermakna daripada syarikat pengeluar peralatan tenaga solar di sini, SunPower Malaysia Manufacturing Sdn Bhd (SunPower) yang menyediakan peranti
‘platform trasmitter terminal’ (PTT) bernilai RM20,000 yang dipasang pada seekor penyu karah.

Ia bertujuan membantu menjaga kelestarian penyu karah di perairan Selat Melaka yang diancam kepupusan akibat faktor semula jadi dan tangan manusia.

Pengurus Besarnya, Wouter Ooghe berkata, syarikat berkenaan mengimport PTT dari Amerika Syarikat (AS) semata-mata untuk membantu Jabatan Perikanan, khususnya Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Terengganu menjalankan kajian
mengenai spesis terancam, terutama penyu.

“RTT menggunakan teknologi tinggi saintis AS yang amat bermanfaat dalam kajian mengenai penyu dan pemantauan mengenai laluan, migrasi dan kehidupan penyu.

“Kami sentiasa menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan kehidupan semua makhluk dalam planet ini,” katanya ketika ditemui selepas program penghargaan kepada syarikat swasta yang terbabit dalam aktiviti konservasi penyu dan pelepasan penyu yang dipasang PTT di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini baru-baru ini.

Program itu dirasmikan Pengarah institut itu, Sharum Yusof. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Fauzi Solehan dan wakil lima syarikat swasta yang terbabit dalam usaha berkenaan.

Beliau berkata, SunPower akan terus memberikan komitmen tinggi kepada PKPP untuk menjalankan tugas memulihara penyu, selain membantu usaha pihak lain yang terbabit dalam memelihara kelestarian alam semula jadi.

Sementara itu, Sharum berkata, RTT mampu berfungsi antara enam hingga 12 bulan sebelum alat itu tertanggal daripada cangkerang penyu dan dalam tempoh berkenaan, institut berkenaan berjaya mengumpulkan pelbagai data mengenai kehidupan penyu.

“Sebelum ini, sudah ada tujuh penyu yang dipasang RTT dan lazimnya, alat itu mampu bertahan antara enam hingga 12 bulan dan antara dapatan kami ialah penyu karah yang dilepaskan di sini berenang hingga Sumatera dan Filipina,” katanya.

Antara faktor penarik penyu berbuat demikian adalah kerana bahan makanan yang lebih banyak dan mudah didapati di perairan Sumatera dan Filipina, selain ancaman manusia yang lebih rendah berbanding di perairan lain, katanya.

Sehubungan itu beliau meminta lebih banyak syarikat swasta membantu usaha pemuliharaan penyu dan hidupan marin yang lain bagi menjamin kelestarian alam semulajadi di negara ini.

Views:

1711
Kongsi :
Previous post Melaka dalam proses wujudkan zon penampan untuk nelayan
Next post Nelayan tidak mampu turun ke laut akibat perubahan monsun
Ubah saiz-+=