Melaka dalam proses wujudkan zon penampan untuk nelayan

Masa Membaca:54 Saat

MELAKA 3 Okt – Melaka kini dalam proses mewujudkan zon penampan yang mengasingkan kawasan menangkap ikan, kapal besar berlabuh dan laluan kapal di perairan negeri itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini di samping meningkatkan hasil tangkapan nelayan.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Melaka Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata ini kerana perairan Melaka antara laluan air yang sibuk selain semakin sempit ekoran aktiviti penambakan laut.

“Usaha ini juga sebagai langkah mengelak berlaku perlanggaran kapal seperti semalam selain memastikan kelancaran trafik di perairan Melaka,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Jabatan Laut Malaysia melaporkan insiden perlanggaran dua buah kapal, MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001,  kira-kira 2.4 batu nautika di  barat daya Terminal Tanjung Bruas, Perairan Tanjung Keling, Melaka pada 11.38 pagi.

Menurut jabatan itu kemalangan tersebut menyebabkan kedua-dua kapal berkenaan mengalami kerosakan namun tidak menyebabkan kemalangan jiwa serta ancaman kepada alam sekitar.

Mengulas kejadian itu, Norhizam berkata pihaknya dimaklumkan kapten kedua-dua kapal telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya beliau juga telah mengarahkan  pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab sekiranya kemalangan disebabkan unsur kecuaian.

— BERNAMA

Views:

475
Kongsi :
Previous post Dua kapal berlanggar di Perairan Tanjung Kling
Next post SunPower bantu kelestarian penyu karah
Ubah saiz-+=