SWCorp kutip hampir 83,000 tan sisa pepejal di negeri terjejas banjir

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

HULU LANGAT, 10 Jan – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengutip 82,850 tan sisa pepejal di enam negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini setakat semalam, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Mutallib.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan Selangor dengan pengutipan sisa pepejal tertinggi iaitu sebanyak 48,589 tan, diikuti Pahang (32,000 tan), Negeri Sembilan (1,400 tan), Kuala Lumpur (630 tan), Melaka (131 tan) manakala proses pengutipan di Johor kini mencecah hampir 100 tan.

“Sebahagian besar bahan buangan ini terdiri daripada bahan-bahan dimiliki oleh tuan rumah yang musnah akibat banjir, nilainya kita tidak boleh lagi anggarkan (setakat ini) tetapi memang agak besar.

“Bahan buangan ini termasuk barangan elektrik yang tidak boleh dibaiki seperti televisyen,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program SWCorp Bersamamu di Taman Sri Nanding, di sini hari ini.

Program SWCorp Bersamamu yang bertujuan membaik pulih peralatan elektrik pascabanjir itu turut disertai Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Ismail Mokhtar.

Mengenai program berkenaan, Ismail berkata dijangkakan 600 unit peralatan elektrik terdiri daripada mesin basuh dan peti sejuk dibaik pulih daripada dilupuskan sekali gus dapat mengelak anggaran nilai kerugian hampir RM1 juta sepanjang pelaksanaan program tersebut bermula hari ini hingga 16 Jan.

Beliau berkata program itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Sumber Manusia (KSM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Seramai 150 sukarelawan terlibat dalam program hari ini dan mereka dibahagikan kepada 30 kumpulan terdiri daripada empat hingga lima sukarelawan bagi membolehkan capaian lebih besar dapat dilaksanakan,” katanya dan menambah bahawa 300 rumah di Taman Sri Nanding disasarkan menerima manfaat menerusi program berkenaan.

Sementara itu, Awang berkata antara sukarelawan yang terlibat pada program itu membabitkan agensi kemahiran di bawah Jabatan Tenaga Manusia seperti Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) serta Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat mengurangkan bebanan penduduk susulan banjir selain memberi pendedahan kepada pelatih institut latihan kemahiran terlibat di lapangan serta terus membudayakan amalan kesukarelawanan.

“Ini tanggungjawab kita untuk membantu rakyat supaya dapat meringankan bebanan mereka pada pascabanjir ini,” kata Awang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post Tiada vaksin tamat tempoh, KKM pantau melalui VMS
Next post RMK12: KDN lulus 21 projek bernilai RM558.7 juta – Hamzah
Ubah saiz-+=